BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, October 25, 2009

CERPEN - Tudungku Bukan Tudungku

" Akak, kenapa orang pakai tudung labuh macam pandang slack sahaja pada saya? Saya pakai tudung juga. Ada sorang ni, macam perli saya, katanya saya pakai tudung macam mak datin..."

Tersentap saya ketika menghirup teh o panas pada petang itu mendengar keluhan adik Aira.

"Dah la dia tu kawan baik saya juga, tapi tak payah la nak perli-perli ni kan..." Aira menyambung sambil menyelak tudung bawalnya ke belakang.

Sememangnya kami bertemu sebulan sekali. Saya senang melihat adik ini. Setiap kali bertemu, pasti saya bawakan hadiah. Saya tidak terus menjawab persoalannya. Perlahan saya mengeluarkan sesuatu dari poket saya. Kerongsang, hadiah buat Aira.

"Untuk adik" Saya menunjukkan kerongsang itu pada Aira. Terpampar keterujaannya.

Lantas tangan saya mencapai tudung Aira, menyamakan antara dua bucu tudung dan saya mengenakan kerongsang pada tudung itu.

"Wah... matching la kak kerongsang ni dengan warna tudung saya, ni sayang akak ni...terima kasih kak... " Aira lantas berterima kasih. Adab yang saya ajarkan padanya ketika di awal perkenalan kami. Berterima kasihlah pada sesiapa yang memberi walaupun pertolongan itu cumalah sekecil zarah.

"Dik, tudung ni, nampak je macam kain buruk. Tapi nilai kain yang kita pakai ni lah yang akan tentukan nasib kita samada kita akan masuk neraka atau syurga kelak. Nilai tudung ni bukan pada cantiknya corak, dan bukan pada banyaknya manik... tapi pada si pemakai tudung tersebut" Saya mula berbicara dengan nada yang tenang.

"Ha, tak faham la kak..." Aira mengerut muka.

"Dik, mengapa ya, waktu wabak HINI melanda negara kita, semua nak pakai face mask?" soal saya pada Aira.

"Sebab takut dapat penyakit la kak... nanti dapat HINI habislah saya kena kuarantin...tak dapat saya jumpa akak lagi...huhuhu...tak nak..." balas Aira sambil membuat isyarat muka yang comel.

"Aira kalau pakai face mask, pakai yang dah koyak atau berlubang ke, atau pakai yang ok punya?" tanya saya lagi.

"Isk, takkan nak pakai yang dah berlubang dan dah koyak... malu lah saya orang tengok, nanti orang kata saya tak betul pulak, huhu. Kenapa akak tanya soalan ni? Pelik lah saya kak... "Aira lantas bertanyakan saya kembali.

Perlahan saya mencapai tangan Aira. Sambil tangannya saya genggam, saya katakan padanya,

"Aira adikku, begitulah juga mengenai tudung dik. Kita pakai kerana kita nak elak penyakit. Penyakit yang kita tidak tergambarkan deritanya. Penyakit yang mana membuatkan kita suka menambah dosa dan penyakit hati. Bukan sahaja penyakit itu boleh menjadi sebati dalam diri kita, tetapi boleh jadi juga kita menimbulkan penyakit pada orang lain. Lelaki yang berpenyakit pada hati, amat suka merebakkan virus jahatnya pada wanita yang mudah dijangkiti penyakit. "

"Adikku, jika tudung yang kita pakai tak mampu melindungi diri kita dari penyakit, itu bermakna tudung itu bukan yang terbaik. Yang terbaik adalah, tudung yang mampu membawa diri kita dekat dengan syurga dan menjauh dari neraka"

"Aira, tudung itu bersifat pelindung. Seperti tudung saji, jika berlubang sana-sini, lalat akan singgah juga pada makanan. Maka, tudung yang kita pakai harus untuk menjadi pelindung pada kita. Jika tudung yang kita pakai itu terlampau singkat, maka masih belum cukup untuk melindungi kita. "

Saya merenungi mata Aira. Aira juga begitu, namun matanya mula berkaca-kaca.

"Akak, tudung saya ni, singkatkah? " suara Aira mula berubah menjadi serak basah.

Perlahan saya merapatinya lantas saya membisik,

" Yang singkat itu, ilmu kita. Bila Aira belajar banyak ilmu agama, nanti tudung Aira lebih labuh dari tudung akak"

Aira lantas merangkul tubuh saya dengan linangan air mata kesedaran.

Wednesday, October 21, 2009

KETIKA CINTA BERTASBIH

Ketika Cinta Bertasbih

Bertuturlah cinta
Mengucap satu nama
Seindah goresan sabdamu dalam kitabku
Cinta yang bertasbih
Mengutus Hati ini
Kusandarkan hidup dan matiku padamu

Bisikkan doaku
Dalam butiran tasbih
Kupanjatkan pintaku padamu Maha Cinta
Sudah di ubun-ubun cinta mengusik resah
Tak bisa kupaksa walau hatiku menjerit

Ketika Cinta bertasbih
Nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud sukur padamu atas segala cinta

Monday, October 19, 2009

Tahniah ustaz Dzulkhairi dan Kak Raihana

Alhamdulillah, dapat juga saya update blog akhirnya. Rasa kekok pula mahu menulis, almaklum, dihimpit krisis kekontangan idea dan jiwa yang mencengkam saban hari, membuat saya gagal menjadi blogger yang baik.

Posting kali ini pun adalah demi meraikan abang dan kakak yang saya hormati dan segani, - Ustaz Dzulkhairi (Ex-Presiden GAMIS) dan Kak Raihana.

Ringan sahaja saya menelefon mereka berdua semalam, mengucapkan tahni'ah atas perkahwinan yang bakal tercipta.

Teringat pula kenangan waktu melakukan gerak kerja Gamis dengan Ust Dzul dulu. Tup tup dah nak kahwin. Hehe. Alhamdulillah, moga semua urusan berjalan lancar. Kak Raihana pula, walaupun saya hanya sempat berbual 2-3 kali melalui talian telefon dengannya, saya amat menghormati dirinya.

Semoga bahagia, Allah merahmati kalian.

Moga dengan sesuatu perkahwinan itu, tertutupnya segala pintu fitnah, lahirnya ramai pejuang agama Allah, terhindarnya seseorang dari azab neraka yang menghinakan, perkahwinan yang mengikuti sunnah dan membawa seseorang kepada ALLAH... ameen...

Sunday, September 6, 2009

Dosa di tangan, Maksiat di hati - beraninya kita mencemar Ramadhan!

Saya berteleku setelah membaca Al-Mathurat malam itu.

Pandangan saya kosong. Hati saya penuh maksiat, saya terpukul-pukul dengan dosa yang melimpah ruah. Seraya, nafsu jahat membisik... "kau hanya beribadah, tapi hatimu, penuh kemaksiatan..."

Saya terkesima.

Saya renungi sedalam mungkin, mengapa cahaya tidak masuk ke dalam hatiku? Saya beroleh jawapan akhirnya, hatiku.... penuh maksiat. Maka apakah maksiat itu? Saya katakan, bukankah maksiat itu, mendekatkan diri dengan dosa, dan menjauhkan diri dengan nikmat yang sepatutnya engkau syukuri?

Maksiat, siapa yang buta hatinya, maka ia adalah orang yang sering bermaksiat. Maksiat, kawan baik sang nafsu jahat. Maksiat, hasil usaha rasukan si syaitan durjana. Maksiat, 'hadiah' kita untuk si syaitan, sebagai 'tanda persahabatan' kita dengannya.

Si pembuat maksiat, seringkali akan mengelak dengan perkataan maksiat itu sendiri. Padahal mereka memahami. Kononnya si pelaku maksiat akan berkata - " Mana ada aku buat maksiat, aku cuma telefon balak aku jer...borak-borak kosong... " dan berkata lagi si pelaku maksiat... " Aku duduk kat sebelah awek aku ni, rapat sikit jer... bukan buat dosa besar pun, bukan berzina pun..."

Alangkah, kalau kita mendalami dengan mata hati hakikat sebenar maksiat itu. Jika kita benar-benar sayang, cinta dan takut pada Allah, saat kita diuji dan digoda dengan maksiat, maka kita akan berlari sejauh boleh dan berpaling secepat mungkin dari dinodai syaitan.

Manusia zaman sekarang, (termasuklah saya), sudah benar-benar mencintai maksiat. Asyik diulit kecintaan dengan keduniaan. Alangkah, di bulan Ramadhan ini, si pelaku maksiat masih tidak berasa bersalah! Bergayut di telefon saban waktu dengan kekasih hati yang tiada sebarang ikatan yang sah, berdating... malah yang paling melucukan..... berbuka puasa berdua-duaan dengan yang bukan mahram! Alangkah, mana mungkin.... kita akan beroleh pahala di atas ibadah yang bersalutkan kemaksiatan???

Manusia sekarang telah 'dibodohi' dengan nafsu.

Maksiat, ubatnya TAUBAT.

Pencegahnya, zikir dan Al-Quran.

Bak kata seorang sahabat saya, "Pegang handset 24 jam takpa, pegang Al-Quran seminit pun jadi beban, karang yang nak lindung kepala kau waktu kiamat nanti, bukan handset, tapi Al-Quran tu..."

Saya kepelikan. Betul katanya. Tempias juga rasa sindiran di hati.

Saya melihat sekeliling saya. Alangkah, di bulan Ramadhan ini, saya lihat ramai yang masih tidak mempertingkatkan ibadah. Malah mereka mencemari dan mengotori kesucian Ramadhan dengan dosa-dosa yang makin menggunung. Mungkin mereka tak mahu dipanggil 'alim' kot. Mungkin mereka tak mahu dipandang hipokrit kot. Inilah terjadi bila kita telah 'dibodohi' dengan nafsu.

Hati saya berbisik... " Berani kau buat maksiat bulan Ramadhan ni? Tuhan merahmati bulan ini, Tuhan ikat para syaitan, Tuhan sediakan ganjaran pahala yang banyak, Tuhan lapangkan jalan untuk menujunya.... tapi kau ada mencari Tuhan walaupun dengan menoleh? Sepanjang hidupmu ini, apakah ibadah yang boleh kau banggakan pada Tuhanmu? Bergetarkah hati tatkala kau mendengarkan kalam-NYA? Adakah solatmu, zikirmu, doamu selama ini kau ambil sebagai adat atau sebagai ibadah? Adakah ia mendekatkan dirimu dengan kesucian hati? Adakah pernah kau merasa manisnya solatmu? "

Duhai sahabat, berhati-hatilah dengan larangan -NYA. Jangan main-main dengan Allah. Jangan buat kotor Ramadhan ini. Akhirnya, jika saya dan dirimu tenggelam terus dengan kemaksiatan sampailah di hujung nyawa, maka tunggulah saat kita direndam dalam api neraka. Rasailah azab -NYA, yang tidak terkebayangkan sakitnya.

Allah, Allah, Allah, jauhilah diriku, keluargaku, sahabatku, guruku, dengan kemaksiatan. Kami takut Ya Allah... dekatkan kami dengan hikmah bercinta-cinta dengan-MU. Kami rindu pada-MU, Ya Allah... Kami sayangkan hati kami, kami tidak ingin mengotorinya. Maka Ya Allah, selamatkanlah hati kami... Ya Allah, Al- Quddus, sucikan, sucikan, sucikan....hati kami...

Saturday, August 22, 2009

BEZAKAN PUASA KITA DENGAN PUASA KANAK-KANAK!

HAMIDI

Dua hari sebelum Ramadhan, saya sempat mengadiri kelas Ukhti Asma' yang mengajar mengenai hukum-hakam bulan puasa serta fadhilat bulan Ramadhan.

Ukhti Asma' menceritakan, di sebuah negara, kanak-kanak (yang masih tidak tahu beza baik dan buruk) di sebuah sekolah diharamkan untuk berpuasa. Tujuannya, untuk mengelak kanak-kanak mewarisi sifat suka menerima rasuah dan menipu.

Fenomena di Malaysia, kanak-kanak disogok dengan habuan 'duit raya' jika mereka berpuasa. Bagi kanak-kanak pula, demi mendapatkan duit raya yang telah dijanjikan, mereka sanggup menipu. Jika tidak larat tau tidak tahan dengan godaan, mereka akan berbuka puasa. Kemudian, dengan comelnya, mereka akan menyambung puasa yang telah terbatal itu. Bila ibu bapa bertanya, mereka jawab mereka puasa. Alahai, itu adik-adik. Belum faham apa-apa. Jangan salahkan mereka. Tapi kita selidik pula bagaimana tabiat ibu bapa atau mungkin kita sendiri dalam cara mendidik anak untuk berpuasa.

1 Ramadhan ini, saya menguji adik saya Hamidi yang berusia 9 tahun.

Saya bertanya "Kenapa adik puasa?" Hamidi jawab, " Adik nak pahala yang besar."

Saya kurang puas dengan jawapannya, maka saya bertanya lagi soalan yang sama. Dengan tidak menyangka, Hamidi lantas menjawab, "Ye la, adik kesian kat orang GAZA tu... tu sebab adik puasa..."

Saya terkedu dengan jawapan ini. Bagaimana adik saya yang saya kira mentah boleh mengaitkan ibadah puasa dengan saudara kita di GAZA? Maka saya bertanya lagi..."kenapa dengan GAZA tu?" Hamidi dengan sengihnya yang comel berkata , " Orang kat GAZA tu kesian,perang,tak makan..."

Saya terkesima. Memang benar ini adik saya. Saya tidak menyangka dia akan beri jawapan sehebat ini. Maka saya bertanya daripada mana dia mendapat 'tarbiyah' ini. Dia katakan dia terlihat di sebuah van gambar orang-orang di GAZA yang sengsara akibat perang. Barulah saya memahami. Jiwa kanak-kanak memang mudah di 'isi'. Hati kanak-kanak memang mudah dibentuk.

Sahabat, ayuh kita bandingkan puasa kita dengan puasa kanak-kanak. Jika nilai persaudaraan dan kesengsaraan saudara se-Islam di GAZA menjadi elemen dalam puasa seorang kanak-kanak, maka apakah pula nilai dan hikmah yang kita peroleh dan dipupuk di dalam hati kita sebelum,semasa dan selepas berpuasa?

Berpuasalah, kerana keredhaan Allah. Moga kita mendapat nikmat tarbiyah dalam Akademi Ramadhan ini.InsyaAllah

Tuesday, August 18, 2009

IDRIS YANG GEGAR DAN FASIHAH YANG POWER!

Alhamdulillah, selesai sudah liku-liku perjuangan sahabat-sahabat pimpinan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sesi 08/09. Kini, bahtera GAMIS dikemudi oleh tangan-tangan yang bakal menggoncang dunia untuk sekalian kalinya. Bagi siapa yang belum mengetahui, Ustaz Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, Presiden ISI UKM kini menyandang jawatan Presiden GAMIS sekaligus mengakhiri teka-teki siapa yang akan menggantikan tempat Ustaz Dzulkhairi, Presiden GAMIS sesi 08/09. Bagi sayap kiri GAMIS pula, Ustazah Fasihah telah ditaklifkan memikul amanah sebagai Pengerusi Serikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA).

Ini sesuatu yang saya sudah jangkakan dari awal. Ustaz Idris dan Kak Fasihah, dua nama yang lahirnya daripada bumi barokah Darul Quran. Dan dua nama inilah yang bakal membawa GAMIS ke hadapan, sebagai gagasan yang maju lagi laju.

Pengalaman saya bekerja dengan Ustaz Idris, memperlihatkan beliau seorang yang cekap. Terkenal dengan team Usrah Gegar acuan dari Darul Quran, saya boleh mengandaikan andai beliau adalah satu kelebihan kepada team GAMIS 09/10. Terpampar kethiqahan adik,anak usrah,cucu usrah serta cicit usrah beliau ketika beliau serta team Usrah Gegarnya menjadi committee sewaktu Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-SPIN '09).



Bersama dengan mantan MT Gamis dan Ustaz Idris sewaktu selesai Ko-SPIN '09


Kak Fasihah pula pastinya seorang hafizah yang berjiwa lembut namun tangannya bakal menggoncangkan serta menggegarnya hati-hati yang cintakan Islam. Mengenangkan apabila saya pernah melihat beliau menangis akibat menonton filem dokumentari Islam,mengenai alam semesta, membuatkan hati saya bertambah yakin, Kak Fasihah mempunyai jiwa yang penuh dengan kecintaan kepada Tuhan,malah beliau adalah seorang yang amat merendah diri walaupun darjat dirinya adalah seorang hafizah. Slogan 'Muslimat Power!' yang saya terima melalui sms daripadanya petang semalam, membuatkan hati ini tidak sabar melihat rentak tari Kak Fasihah memacu gerakan muslimat sekaligus menjulang nama Islam dan SIGMA itu sendiri.

Kak Fasihah dan Kak Rafidah (Mantan Penasihat SIGMA 08/09)

Buat Akhi Idris & Ukhti Fasihah, walaupun mungkin anda tidak membaca blog ini, namun ketahuilah, di belakangmu berdirinya para mujahid dan mujahidah yang mahu bersama-samamu untuk bersusah payah di jalan ini...

Tahniah buat team GAMIS 08/09, kenangan bersamamu, takkan kulupakan =)

Sunday, August 2, 2009

TAHNI'AH GAMIS ATAS '2 K' !!!

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.... Allahuakbar...

Selesai sudah permulaan kepada perjuangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang akan mendatang... Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-SPIN '09) dan Konsert Antara Dunia (KAD '09).

Kongres dan Konsert = Saya sebutkan sebagai 2 K, dua projek mega GAMIS.

Walaupun demi '2 K' ini, AJK dan MT GAMIS bersengkang mata, namun kami amat gembira.

Gembira kerana Tuhan mudahkan segalanya. Gembira kerana Tuhan berikan kita peluang untuk bersatu. Gembira kerana Tuhan memberikan ni'matnya yang tidak putus-putus buat hati-hati yang ingin mensyukuri...

Biar penat tidak tidur, biar lenguh dan sakit badan, biar duit mengalir bagaikan air untuk perjuangan ini, biar dan biarkan... ASAL ISLAM DIJULANG!!!

Special thanks to Rabbani dan Permata Hijrah...

Adik-adik pertandingan mewarna di Karnival KAD '09, meriah!