BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, October 7, 2010

...Kerana Emak Hanya Seorang...


Hari ini, emak mengadu kakinya bengkak. Abah mengurut-urut kaki emak. Esoknya, emak mengadu tangannya sakit. Aduh, hati anak yang mana tidak ditarik-tarik kerisauan.

Saya menjeling jam di dinding perpustakaan. Jam 11.00 pagi. Kuliah saya akan mula pada 2 petang. Kiranya saya ada masa berbaki 3 jam sebelum kuliah bermula. Lantas saya mencapai ‘kuda perang’ NCA 1820 saya, bergegas pulang ke rumah. Tugas saya sebagai anak dan pelajar tidak pernah terpisah dalam sehari. Andai kata ada masa lapang di kampus, saya akan pulang membantu emak dan nenek saya di kedai makan milik kami.

Waktu kemuncak makan tengahari dari pukul 12.00 tengahari hingga 2.30 petang, pasti gerai saya akan dikerumun manusia yang idamkan sepinggan nasi. Ah, di kedai cuma ada makcik Kiah, emak dan nenek sahaja. 3 orang nak melayan 30 orang mana cukup tenaga. Nak buat air lagi, nak mengira lagi, nak basuh pinggan lagi, kemas meja dan lain-lain lagi kerja kedai makan. Orang yang pernah kerja, dia tahu lah penat macam mana. Tambah-tambah lagi kedai saya ni bukan sekadar jual nasi campur tapi ada jual lemang. Ya, bukan hari raya je jual lemang. Tapi hari-hari. Jadi lagi banyak kerja. Nak basuh beras, isi beras dalam buluh dan yang paling susah, nak kena bakar lemang. Menghadap api sekitar 2 jam. Lalu, saya kerah tenaga muda saya. Saya wajibkan diri balik bantu emak. Nasib baik rumah dan kampus saya dekat-dekat. 10 minit dah sampai. Kalau saya rempit, 5 minit je. Kuikui.

Saya tolong mana yang termampu. Bila 20 minit lagi kelas nak bermula, saya pulang semula ke kampus. Sebab itu, kadang-kadang, saya pergi ke kuliah dengan bau asap yang masih terlekat di tudung dan peluh yang masih belum kering. Saya peduli apa, janji saya dapat senangkan emak dan nenek saya. Apa guna jadi anak jika tidak dapat meringankan beban ibunya.

Kadang-kadang saya mengantuk dalam kelas. Tapi saya rasa saya, bukan kerana penat membantu emak. Biasalah, syaitan mana senang tengok orang belajar. Mesti dia nak bertenggek atas mata. Tapi saya tak nafikan juga, ada rasa penat sedikit. Dalam kelas Professional Communication, dah 2 kali Madam Saadiah nampak saya ngantuk. Tengah-tengah madam mengajar, boleh pulak madam pergi ke belakang saya dan memicit-micit bahu saya sekitar 10-15 saat untuk menyegarkan mata yang mengantuk. Bagusnya madam Saadiah. Selama saya bergelar pelajar selama 4 tahun di kampus, ni kali pertama saya diurut oleh pensyarah sendiri. Huhu. Sebab itu, walaupun penat, saya akan daki tangga untuk pergi kelas Madam Saadiah yang terletak di tingkat paling atas. Bukan sebab suka diurut, tapi kerana guru yang bagus akan menjadikan pelajarnya juga bagus.

Bila fikir-fikir balik, saya boleh je duduk kat kampus. Layan facebook, siapkan assignment, tidur siang, dan banyak lagi urusan lain. Tapi bila terkenang kudrat emak yang separuh abad, nenek yang tua, oh, saya katakan dalam hati, “Tanggungjawab ini lebih besar”. Pernah saya terfikir, nak suruh emak berhenti jual lemang. Tapi saya terfikir semula, bagaimana dengan pelanggan setia kami, dengan siapa mereka nak beli lemang? Kalau mereka nak order lemang untuk hari raya, siapa nak bakar? Ish, hubungan sesama makhluk pun kena jaga.

Nak berhenti jual nasi lagi lah tak boleh. Habis orang-orang pejabat nak makan kat mana. Mereka dah jatuh cinta dengan daging salai lemak cili padi dan sambal tumis nenek saya. Kedai saya ni, artis pun dating. Padahal kedai kecik je. Bukan restoran pun. Eh, ni bukan riak ke apa. Chef Ismail pun datang beli lauk sini. Arwah Achik Spin, Datuk Aziz Singah, Latif Ibrahim..semuanya pelanggan tetap yang pasti singgah kalau mereka lalu kedai kami. Pekerja Honda, staff micet, staff Majlis Daerah Tampin, cikgu-cikgu sekolah, semua makan sini. Mana boleh berhenti jual makanan.

Kadang-kadang bila ada test, saya sempat lagi tolong emak saya.. Matlamat ilmu bukan dapat markah yang tinggi dalam peperiksaan dan test. Bukan semua soalan dalam test menguji kefahaman pelajar. Matlamat ilmu nak jadikan kita insan yang beradab, merindui syurga dan membenci neraka. Saya belajar Chemical Engineering, tapi mungkin di masa depan saya hanyalah seorang guru, bukan engineer atau pakar teknologi. Atau mungkin saya hanya seorang aktivis Islam. Bukan tidak berjiwa besar, tapi nilai keilmuan itu bukanlah pada pangkat dan gaji yang besar.

Bila malam tiba, saya akan curi masa buat kerja rumah pula. Lipat kain, gosok baju sekolah adik. Barulah saya lega nak balik ke rumah sewa yang saya tinggal dengan rakan-rakan seperjuangan. Balik rumah baru buat kerja-kerja kuliah. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

Sudahlah, penat dah tulis ni. Sekejap lagi tengahhari, saya nak tolong emak. Motif saya tulis, bukan nak kata saya rajin, tapi saya nak selit peri penting tanggungjawab mereka yang bergelar anak. Bila cuti semester, jangan dok goyang kaki. Anak macam ni, dah kerja nanti lagi teruk. Ibu bapa bukan hamba kepada anak-anak tapi anak-anak sering memperhambakan ibu bapa. Apa lagi, curahkan bakti. Gunakan tulang-temulang yang ada dalam dirimu untuk menempah syurga yang kelal abadi.

2 comments:

Anonymous said...

sedih...teringat mak... :'))

PuRpLe LaDY said...

xpe lin.. insyaallah senang hidup kita nanti bila kita senangkan hati org tua ni..