“Akak, wajib ke pakai tudung labuh?” Tanya Asma’ sewaktu aku sedang menghirup teo panas yang dihidangkannya. Akibat pertanyaan mengejut itu, aku tersedak sedikit.
Aku lantas menjawab spontan, “Tak wajib.” Aku sengaja menoktahkan jawapan aku di situ dengan harapan Asma’ akan bertanya soalan lanjut. Aku jenis naqibah yang tak suka memberi jawapan direct kepada anak usrah melainkan soalan-soalan ringkas macam soalan ini. Itupun aku akan cuba membuatkan akal mereka berfikir. Dan kali ini menjadi. Soalan kedua menyusul.
“Habis tu…kenapa Asma’ tengok ramai perempuan alim pakai tudung labuh? Kenapa akak pun pakai tudung labuh?” Nah, 2 soalan dalam satu pertanyaan.
Sudah aku jangka soalan ini, lantas aku membetulkan duduk. Sebelum menjawab soalannya, aku beristighfar, dilabel “alim”, “wara”, “solehah” bukanlah pertama kali bagiku. Orang yang pakai kopiah dan tudung labuh pasti dilabel golongan ustaz-ustazah. Sedangkan aku ni merangkak-rangkak mencari ilmu-NYA, lantas bagaimana bisa dilabel alim, wara’ dan solehah? Alim dan wara’ tu sesuai untuk ulama’ dan guru sahaja. Maksudnya, ulama’ dan guru yang benar-benar diiktiraf. Ilmu mereka yang tinggi dan penuh keikhlasan.
“Dik, akak ni, bukan alim… malah definisi alim secara mendalam pun akak tak tahu. Begini dik, tudung labuh tak wajib dipakai…akan tetapi yang wajib adalah MELABUHKAN TUDUNG KE PARAS DADA.” Aku memulakan point-point penting sekaligus mengambil kesempatan ini untuk memberi faham kepada Asma’, adik usrah aku yang baru kukenali sebulan lalu.
Aku lihat wajah bersih Asma’ masih belum puas dengan jawapan. Lantas aku mengeluarkan tafsir Al-Quran dari beg ku dan ku bacakan padanya Surah An-Nur, ayat 31 berserta tafsirannya sekali.
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya..” (sehingga habis ayat).
Aku melihat Asma’ meneliti setiap bicaraku. Habis sahaja ku bacakan ayat tersebut, dia menundukkan wajah. Kelihatan serba-salah riak wajahnya. Lantas aku cepat-cepat menyentuh bahunya.
“Asma’, adakah Asma’ dah faham apa yang akak mahu sampaikan?” aku merendahkan suara serendah-rendahnya.
“Betul ke kak, tak boleh pakai tudung macam yang Asma’ pakai ni?” Asma memegang tudung bawalnya yang siap diselak ke belakang.
“Adik, tudung tu tak salah, yang salah cara pemakaian dan pemilihan tudung yang kita pakai…” Aku mula mencari sisi dakwah yang lain.
“Maksud akak?” Asma’ bersungguh-sungguh bertanya, terserlah keikhlasan hatinya untuk mencari kebenaran.
“Dik, pakailah tudung apa-apa pun, asalkan ia mengikut syariat. Tudng yang mengikut syariat adalah tudung yang menutupi dada, tidak jarang dan tudung yang boleh melindungi kita dari pandangan nakal mata lelaki” serak basah suaraku ketika menyatakan perkara ini.
“Akak…selama ni Asma’ berdosa la pakai tudung bawal ni selak belakang, jarang pun boleh tahan tudung ni…Alamak kak….kenapa Asma’ tak tahu pasal ni dari dulu lagi…” Asma’ separuh mengeluh. Matanya mula berkaca-kaca. Terserlah keayuan wajah adik berusia 18 tahun ini. Memang tepat dugaan aku, Asma’ jenis orang yang rasional. Akalnya cerdas sekali. Fikirannya cepat menangkap apa yang aku ingin disampaikan.
Aku tidak mahu mensia-siakan waktu emas ini. Hati yang sedang disiram keinsafan hendaklah disuburkan pula dengan benih ketaqwaan. Menutup aurat bukan sahaja bersifat zahir dengan memakai tudung yang labuhnya menutupi dada, namun yang lebih penting adalah melindungi diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang syariat. Nilai tudung bukan terletak pada cantiknya fesyen tudung, bukan terletak pada cerahnya warna tudung, bukan terletak kepada mahalnya harga tudung, bukan terletak pada cantiknya bila kita memakai tudung tetapi pada nilai ketaqwaan kita ketika memakai tudung. Kalau pakai tudung labuh tapi berlipstik tebal pun apalah gunanya. Kalau pakai tudung labuh tapi berakhlak buruk pun apalah gunanya. Tudung itu sendiri bersifat melindungi. Melindungi dari melakukan perkara yang tiada bernilai di sisi agama dan dilindungi dari gangguan-gangguan lelaki yang tidak baik. Itulah penjelasan aku pada Asma’.
Asma’ angguk-angguk tanda faham. Kali ini dia tersenyum, mungkin kerana dia telah mendapat input baru hari ini. Senyumannya manis sekali, menampakkan giginya yang putih tersusun.
“Kak, Asma’ dah faham sekarang. Erm, tapi kan akak.. boleh tak Asma’ nak mula dengan pakai tudung bidang 50 dulu? Asma’ nak mula secara berperingkat, lepas tu, satu masa nanti, Asma’ nak pakai tudung labuh bulat macam kakak pakai sekarang… boleh tak kakak?”
Allahu Allah…
Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Memberi Hidayah,
Pemilik kepada hati-hati hamba-Mu,
Yang membolak-balikkan hati…
Aku terkesima dengan Asma’. Kata-katanya memukau. Aku berdoa’ dalam hati, agar niat Asma’ menjadi realiti, agar jalan untuk berubah kepada yang lebih baik dipermudahkan oleh Allah.
“Yakinlah adikku Asma’, Tuhan sentiasa bersamamu” aku berbisik dalam hati sendiri sambil tersenyum manis dan ku usap kepalanya lembut.
“Akak, esok kita shopping tudung nak?”
Aku mengangguk pantas.
Allahu Akbar! J
1 comments:
cara dakwah yang terbaik dalam menghadapi mad'u kite pada hari ni
Post a Comment