BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, July 21, 2009

SAJA-SAJA JE, KALAU RAJIN BOLEH BACA… DAN SEBALIKNYA, =)

Dalam dua minggu ini, hari-hari yang saya lalui sangat indah. Pengalaman yang menceriakan dan ada juga yang mendera jiwa. Saya bersyukur kepada Tuhan atas perasaan ini. Ia perasaan yang dinamik.

Pertamanya, saya melahirkan rasa syukur kepada Tuhan atas anugerah ‘sahabat GAMIS’ yang dikurniakan kepada saya. Ukhti Munawirah, Ukhti Zafirah, Ukhti Rafidah, Ukhti Pija dan Akhi Dzulkhairi adalah insan-insan istimewa yang baru hadir dalam hidup saya. Saya tidak pernah mengimpikan untuk mengenali mereka, bahkan jauh sekali untuk memiliki nombor telefon mereka, bahkan tidak pernah terlintas di fikiran yang hubungan kami seperti ‘adik-kakak-abang’. Ah, saya ingatkan saya bermimpi. Mengapa dalam ramai adik beradik GAMIS, saya yang dipilih-NYA untuk diberi izin menjadi AJK kongres lantas merapatkan diri saya kepada insan-insan hebat ini? Memikirkan hal ini, saya boleh menangis. Ia, manakan tidak,

hanya dengan bersahabat dengan insan yang hebat, maka jiwa saya turut bangkit. Berbual dengan mereka, itu pengalaman yang berharga. Percakapan mereka tidak sia-sia. Kata-kata mereka, inspirasi bernilai emas untuk saya. Memandang wajah mereka, bagaikan saya sedang memandang wajah pemimpin akan datang. Bekerja dengan mereka, membuatkan saya semakin matang dalam berurusan. Bergurau dengan mereka, amat menyenangkan. Bagaikan ada chemistry antara saya dengan mereka. Tapi saya masih sedar diri, saya cuma insan biasa. Insan biasa yang menerima nilai-nilai kemanusiaan daripada insan-insan luar biasa.


Paling menakjubkan, mereka menunjukkan nilai ukhwah yang tinggi. Tarikh kongres 11 Julai dan pastinya selesai kongres, MT GAMIS dan AJK mana yang tidak penat. 12 Julai, saya pula akan mendaftar semester pertama di UniKL MICET, Melaka. Akan tetapi, suatu kejutan dan penghargaan buat saya bila Kak Munawirah, Kak Zafirah dan Pija berhasrat menghantar saya ke rumah di N.Sembilan pada malam 11 Julai itu juga. Hati saya amat berat untuk menerima pelawaan ini, berkali saya katakan pada Kak Zafirah… tapi akhirnya saya terima atas dasar ukhwah. Terima kasih Kak Rafidah yang menyedarkan saya dalam konsep ukhwah. Saya sempat juga berusrah bersamanya ketika kami sedang makan usai kongres berakhir. Ia, ini mengenai ‘sahabat GAMIS’. Moga- moga Allah akan menjadikan insan-insan yang hebat ini sebagai insan-insan yang memberi manfaat kepada semua orang.
KEMBALI JADI MAHASISWA; METHARMOPHOSIS YANG BARU

Saya kembali mendaftar di UniKL MICET. Sebagai mahasiswa yang baru sahaja segar disirami idealisme dan pengalaman hidup sepanjang saya praktikal di Sime Darby Laboratories, menyertai program SIGMA yang sarat dengan hikmah kebangkitan jiwa yang ajaib saya rasakan, terbang sebentar singgah ke UKM untuk menonton konsert lantas sedikit sebanyak memberi ruang untuk saya berkenalan dengan Exco ISI UKM yang hebat-hebat, menjadi AJK Ko-SPIN ’09…wah, indahnya hidup. Kini, saya ingin kembali ke MICET dengan pendirian yang segar dan ingin beridealisme sebagai mahasiswa. Harapan sahabat-sahabat dan adik-adik di MICET yang menginginkan saya kembali, tidak saya hampakan. Malah yang lebih jelas, harapan Emak dan Abah yang senang jika tempat belajar saya tidak jauh dari mereka. Harapan Emak dan Abah yang ingin saya menyambungkan pengajian di UniKL MICET adalah petunjuk istikharah yang paling baik untuk saya. Jelas. Harapan saya untuk ke ipta, saya simpan jauh ke lubuk hati. Ah, bukankah menyenangkan hati orang yang mengharapkan kepada kita itu lebih baik. Tuntut ilmu di mana sahaja sama. Cuma contentnya yang berbeda. Asalkan saya jadi orang. =)

Kembali ke MICET, bukan semudah dan seindah waktu saya Diploma dahulu. Kini, saya perlu bijak menguruskan masa dan kewangan. Buat masa sekarang, tiada elaun sara diri dari pihak MARA yang saya akan dapat sehingga semester kedua nanti. Jadi dalam 4 bulan ini, saya akan cuba berjimat cermat. Pastinya hidangan makan malam saya (kecuali bulan puasa), saya akan makan biskut kering bergula dicecah dengan air teo’ panas. Ia amat melazatkan bagi saya yang telah melihat kesusahan orang-orang miskin sewaktu saya berpraktikal di ladang-ladang kelapa sawit.
Titisan peluh mereka amat bernilai ibarat titisan air embun yang jernih. Mereka bersusah hanya kerana beberapa RM sehari, untuk keluarga mereka.
Di luar sana, ramai yang menaiki kereta besar, tanpa mengeluarkan peluh, dapat mengumpul ribuan ringgit sehari barangkali. Inilah ketentuan Ilahi. Corak dan warna kehidupan yang perlu kita redhai. Alangkah, saya kadangkala mengimpikan hidup susah. Itu akan memberikan saya merasai lazatnya nikmat syukur itu. Jadi saya menolak tawaran Emak saya beberapa hari lalu untuk membelikan saya baju dan tudung yang baru. Pakaian yang saya ada sudah cukup untuk saya. Walhal saya tahu, apabila saya melihat locker-locker sahabat saya, saya bagaikan ketinggalan jauh. Pakaian saya ketika di asrama, sudah pasti pakaian saya di rumah. Saya jarang memberi pakaian kerana saya tahu, ada ramai yang sudi memberi saya pakaian. Emak, wan dan sahabat saya suka memberi saya pakaian. Wan beri saya jubah. Emak suka memberi saya baju kurung yang tidak muat dipakainya lagi, 3- 4 helai. Iera juga begitu. Suka sangat bagi baju yang dibawa dari kelantan.Ukhti Munawirah memberikan saya kot labuh yang cantik sempena kongres. Malah pentadbiran MICET memberikan saya blazer percuma yang harganya agak mahal bagi saya. Kehidupan saya besederhana. Tidak susah dan tidak kaya. Tapi jika diberi option, adakala saya ingin merasa nikmat hidup susah. Saya masih ingat ketika wan saya beria ingin membelikan gelang emas yang dipakai di tangan kanan saya kini, harganya RM 1000++. Saya amat berat hati untuk menerima dan juga saya menolak untuk dibelikan gelang ini. Namun, duit dikeluarkan depan mata saya di kedai emas itu. Alangkah, duit itu saya boleh minta pada wan untuk digunakan di jalan perjuangan Islam. Tapi saya lebih kepada menjaga hati wan saya yang telah tua, dia hanya ingin melihat cucunya berhias sebagaimana wanita lain. Tidaklah pula saya sanggup menolak keinginannya. Walaupun hati saya amat berat untuk ‘mengizinkan’ gelang itu berada di tangan saya sebenarnya.
Inilah rezeki. Yang saya ingin tekankan adalah, kita sebenarnya terlalu sedikit bersyukur. Sebelum menggunakan nikmat Allah, kita akan meminta-minta…dan akhirnya selesai menggunakan nikmat Allah, kita lupa pada-NYA.

HARAPAN KU, HARAPAN MU JUA…

Masih ada yang ingat pada saya, masih ada yang berharap pada saya. Alhamdulillah. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk kalian, khususnya sahabat dan adik-adik di MICET, bahkan mungkin saya orang yang paling hina untuk kalian. Tapi insyaAllah, saya akan cuba buat yang terbaik untuk kita semua. Untuk Allah dan Rasul yang paling tepatnya. Semasa saya masih dalam Diploma lagi, di mana saya tidak tahu untuk menyambung pelajaran di mana lagi, seorang sahabat menelefon saya. “Lin, saya nak melamar Lin ni… untuk lajnah Tarbiyah. Lin masuk lajnah Tarbiyah ya”. Suaranya yang jelas di telefon membuatkan saya terkedu dengan tawaran yang ini. Saya katakan padanya, semuanya kita musyawarah dahulu dengan pimpinan. Pada awalnya, saya sudah bercita-cita tidak mahu menzahirkan diri dalam kepimpinan, Cuma ingin menjadi tulang belakang kepada persatuan Islam kami di sini. Tapi setelah difikirkan berulang kali, mana mungkin saya melakukan begitu. Ada yang mencadangkan saya menjadi penasihat, ada yang mencadangkan saya kembali memegang tampuk pimpinan Jawatankuasa Perwakilan Mahasiswa (JPM). Keinginan para sahabat dan adik-adik di sini menimbulkan satu persoalan ringkas, “layakkah aku?”. Bak kata Kak Rohana UiTM Melaka, “Kalau nak ikutkan, semua orang tak layak, tapi kalau tak layak, siapa yang nak buat kerja-kerja semua?”. Lantas prinsip hidup novelis terkenal, Ustaz Hasrizal iaitu
“Erti hidup pada memberi”, Hidup bukan sekadar memberi TAHU, malah mencetus MAHU dan MAMPU untuk beragama. Wah, ini cetusan idea yang sangat unik.
Hidup saya kini bukan lagi untuk diri sendiri. Saya hidup dengan nikmat yang Tuhan berikan, saya hidup untuk Emak dan Abah, saya hidup untuk adik-beradik saya, saya hidup untuk sebuah nilai perjuangan yang menilai dan membuktikan cinta saya kepada Allah dan Rasul kecintaan saya. InsyaAllah saya akan lakukan yang terBAIK untuk kalian. Moga-moga, inilah hasil semaian saya di dunia yang diberkati yang diredhai Allah, kelak hasilnya di akhirat nanti. Ameen.

~Allahumma inni as aluka ridha ka wal jannah~

1 comments:

arieiza said...

salam..
ur words make me cry..i know i should be more grateful after this..
gud luck in whatever u do!