BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, June 15, 2013

Khadijah Bukan 40 Tahun Ketika Berkahwin Dengan Rasulullah SAW


Assalamualaikum. Buku ini ada 56 kisah popular yang telah dinilai secara analitikal. Antaranya ialah 

*Benarkah Saidatina Khadijah berusia 40 tahun ketika berkahwin dengan  Rasulullah SAW?
*Benarkah Rasulullah SAW diganggu oleh jiran baginda iaitu seorang wanita Yahudi?
*Benarkah Hindun melapah hati Hamzah?
*Benarkah Rasulullah SAW dilahirkan pada 12 Rabi'ul Awwal?
*Benarkah Rasulullah  SAW mengahwini Saidatina Aisyah semasa berumur 6 tahun?

Dan banyak lagi kisah...

Boleh hubungi saya, Haslin di talian 0136460813 untuk mendapatkan buku ini. RM 30 tidak termasuk harga pos.

Moga mendapat hujah, fakta dan seterusnya mengharmonikan sirah nabawiyah... inshaAllah.

Friday, January 25, 2013




12.20 tengah malam, akhirnya air mata tumpah jua. Sebab, teringat akan sesuatu yang menggerunkan untuk dikenang semula. Bisikan syaitan itu amat kuat untuk menduga. Hati bagai ditoreh dengan pisau yang tajam, ditusuk dengan hujung anak panah yang tepat menusuk ke jantung. Terasa putus asa yang meninggi, namun tersedar diri masih bernafas. Bukankah nafas ini tanda kita masih hidup untuk berubah? Bukankah nafas ini tanda Allah sayang? Bukankah nafas ini tanda supaya kita jangan berputus asa? Allahu Rabbi, terus tersedar akan lemahnya diri. Belek-belek Al-Quran, temui ayat ini. Berderai lagi air mata. Allah dah berfirman dalam kitab,

"Katakanlah (wahai Muhammad): ""Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang." - Az-Zumar ayat ke 53.

Dan lagi, ayat ini...

"Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir"."- Surah Yusuf, ayat ke 87

"Jangan-lah kamu berputus asa". Ia, nak highlight ayat ini supaya saya dan kamu yg sedang membaca ni agar jangan mudah putus asa. Kita boleh menyesal, boleh menangis, tapi jangan sertakan tangisan itu dengan sikap putus asa kita. Bandingkan sikap putus asa kita ini dengan rahmat Allah yg terbentang luas. Tengah-tengah menangis, pandanglah langit. Masha-Allah, akan kita lihat dan terfikir yang kita masih diberi nafas untuk hidup dan BERUBAH.

I am what I am now, not yesterday, not even last week, or even last year. If I did wrong, yes, I did. But I am human, full of mistakes, make a LOT of sins but I'm still alive to become a slave and forever slave for Allah. Does He give me a chance? The answer is YES. My breath is a signal of a chance. A signal of His love, a signal of His 'sifat ghafur' (pengampun).

Jadi, jika saya telah membuat dosa besar, layakkah saya berputus asa dan menganggap dosa itu tanda berakhirnya pergantungan saya pada Allah? Tentu saya sendiri tidak mahu perkara ini berlaku.

Saya tak mahu jadi orang yang anggap diri dia jahat, kemudian dia terus ingin jahat. Hanya kerana dia terasa dia jahat, dia terus-terusan dalam kemaksiatan. Sedangkan, Allah dah campak dalam hati manusia ni fitrah-fitrah yang baik. Mana mungkin kita selamanya jahat. Kita akan berubah dan sentiasa berubah. Hati ni organ yang tak stabil. Ada masa dia berdegup laju, ada masa dia tenang. Sama macam hati nurani kita yang sentiasa berbolak-balik. Ya Allah, aku berlindung dari sifat berputus asa ini. Ni ada doa' َyang boleh saya dan anda untuk amalkan.

اَللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوْبِ, صَرِّفْ قُلُوْبَنَا عَلَى طَا عَتِك
(Ya ALLAH, Tuhan yang mengarahkan hati-hati, arahkanlah hati-hati kami untuk taat kepada-Mu)

dan lagi

اَللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ, ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلَى دِيْنِك
(Ya ALLAH, Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku pada agama-Mu)

Air mata telah kering walau mata sedikit pedih. Hati terasa tenang membaca "pujukan" dari Allah melalui kalamnya. Apatah lagi setelah meluahkan di sini. Terasa lapang sebentar. Sungguh, diri ini kena kembali pada Allah kerana memang dari Allah kita datang. Sebesar mana pun ujian, adulah pada Allah dan yang penting, kena ajar diri terima ujian dan tidak berputus asa.

Mata dah kuyu, masa untuk berhenti menulis. Moga ada hikmah, moga Allah redha.

"Ku jenguk-jenguk hikmah Tuhan,
Hati buta tak nampak jalan,
Rupanya diri banyak kekurangan,
Tapi nak berubah dan berlari ke syurga impian"

Tuesday, October 23, 2012

Sebelum Berbaitul Muslim

Sebelum Aku Berbaitul Muslim (Talk Hilal Asyraf di bumi UniKL MICET pada 23/10/2012)

1.  Pendefinisian cinta

Definisi cinta adalah berbeza mengikut kefahaman individu. Namun hari ini istilah seperti “couple” dan cinta telah disalah-tafsir melalui fahaman barat. Sebagai contoh, apabila kita sebut mengenai cinta antara dua jantina, pasti yang terbayang di minda adalah pasangan yang melakukan perkara yang melanggar syara’ seperti dating berdua-duaan, chatting yang lagho, membazir wang untuk pasangan dan yang paling berat adalah cinta berpaksikan seks. Bagi mereka yang faham maksud cinta sebenar, iaitu yang telah digaris Islam, saudara Hilal memberikan definisi baru iaitu “Cinta mestilah apa yang membawa ke syurga. Apa yang membawa ke neraka bukanlah cinta”. Ini selari dengan ayat Allah pada surah Āli ‘Imrān (ayat 185), “Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya” 

Justeru, jika kita telah faham apakah itu cinta sebenarnya, maka kita tidak berani untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang songsang dalam agama kerana kita menyayangi dan mencintai pasangan kita. Mana mungkin jika kita mencintai seseorang, lalu kita mahu mengajaknya ke neraka? Itu bukan sifat cinta, itu nafsu semata. 

Cinta sebelum nikah juga adalah dibenarkan tapi haruslah berada atas garis-garis Islam. Sebagai contoh, tempoh pertunangan adalah masa yang paling sesuai untuk mengenal bakal pasangan suami/isteri. Namun dalam tempoh bertunang, bukanlah lesen untuk bermaksiat. Dalam bertunang pun, haruslah menjaga pergaulan. 

2.  Sebelum berbaitul muslim 

Sebelum kita membina sebuah perkahwinan, kita mestilah terlebih dahulu untuk USAHA menjadi selayaknya bagi pasangan kita serta nilai sebuah perkahwinan itu. Hilal menggariskan tiga perkara penting yang kita harus bersedia sebelum bernikah. Yang pertama, dari sudut rohani. Pembentukan menjadi muslim yang baik adalah amat penting kerana apabila kita berkahwin, kita akan membentuk sebuah keluarga yang akan membesar menjadi masharakat. Sekiranya seorang muslim yang berkahwin tanpa persedian rohani, maka perkahwinannya itu bakal membentuk sebuah keluarga yang gagal seterusnya sebuah masharakat yang reput rohaninya. Sebagai muslim, umat Rasulu’Llah Salla’Llah ‘alayhi wa sallam, kita tidak mahu digelar masharakat yang rapuh. Dalam surah At-Taḥrim ayat enam, Allah berfirman , “Wahai orang –orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” Sungguh, pembentukan rohaniah amatlah penting untuk membawa diri kita dan pasangan kita untuk menuju syurga. Kita harus perbaiki sikap negatif dan gemar bermaksiat seperti merokok, menonton perkara lucah, membuka aurat dan lain-lain lagi kepada satu perubahan yang positif agar sikap-sikap ini tidak tercerna kepada pasangan kita serta anak-anak kita. 

Yang kedua, persediaan emosi. Mengurus emosi berkait rapat dengan penjagaan masa, penjagaan persekitaran dan sensitiviti perasaan suami. Uruskan masa dengan betul, agar tidak serabut memikirkan perkara yang tidak perlu dilakukan. Menjaga persekitaran seperti kebersihan rumah juga mampu membentuk emosi yang stabil . Sensitif dengan pasangan dengan mengetahui minatnya dan memahami perasaannya agar tidak saling melukai. Persedian emosi amatlah penting bagi seorang suami agar mampu menakhodai bahtera pernikahan dengan bijak agar tidak terlalu mudah meluahkan perkataan ‘cerai’ dan ‘talak’ ketika ada dugaan menimpa rumahtangga. Terdapat banyak kes di mana perkahwinan tidak kekal lama, bahkan dalam beberapa hari sahaja baru berkahwin, telah ada pasangan yang bercerai dek kerana kurang kawalan emosi dan tiada bijak mendepani permasalahan. 

Yang ketiga, persediaan material. Kita mengakui, berkahwin mestilah mengeluarkan modal. Semurah-murah mas kahwin pun, walau senaskhah Al-Quran, pasti ianya modal. Namun zaman sekarang jika tiada RM 10000 hingga RM 20000 usahlah tergesa-gesa mahu berkahwin melainkan anda ada sponsor tertentu untuk menyara kehidupan semasa telah berkahwin. Perlulah ada persiapan bajet untuk berkahwin, iaitu dengan bekerja dan sebagainya. Perlu ada daya saing dan survivol dalam mencari mata pencarian untuk memastikan kesejahteraan hidup berumahtangga. Setakat ini tiada lagi diskaun khas yang diperuntukkan bagi mereka yang telah berkahwin untuk segala jenis harga barang. Justeru, berUSAHAlah mencapai mampu! 

Kesimpulannya, sebelum berbaitul muslim, bersamalah kiat berUSAHA menjadi muslim yang sebenar-benar muslim. Dalam soal memilih pasangan, banyakkan istikharah dah istisyarah (berbincang) di samping kita membuat persediaan yang tiga di atas. 

Insha-Allah, saya telah menulis apa yang saya fahami dari talk tadi. Tulisan di atas ditulis dari apa yang saya daham dan saya olah dengan gaya penulisan saya sendiri. Jika ada silap, mohon dibetulkan. Allahualam. Banyak lagi perkara yang mahu dikongsikan namun Hilal telah menulisnya dalam buku “Sebelum Aku Bernikah”. Belilah jika berkenan untuk membacanya. Assalamualaikum.

Thursday, September 29, 2011

TUDUNGKU BUKAN TUDUNGKU (2)


“Akak, wajib ke pakai tudung labuh?” Tanya Asma’ sewaktu aku sedang menghirup teo panas yang dihidangkannya. Akibat pertanyaan mengejut itu, aku tersedak sedikit.

Aku lantas menjawab spontan, “Tak wajib.” Aku sengaja menoktahkan jawapan aku di situ dengan harapan Asma’ akan bertanya soalan lanjut. Aku jenis naqibah yang tak suka memberi jawapan direct kepada anak usrah melainkan soalan-soalan ringkas macam soalan ini. Itupun aku akan cuba membuatkan akal mereka berfikir. Dan kali ini menjadi. Soalan kedua menyusul.

“Habis tu…kenapa Asma’ tengok ramai perempuan alim pakai tudung labuh? Kenapa akak pun pakai tudung labuh?” Nah, 2 soalan dalam satu pertanyaan.

Sudah aku jangka soalan ini, lantas aku membetulkan duduk. Sebelum menjawab soalannya, aku beristighfar, dilabel “alim”, “wara”, “solehah” bukanlah pertama kali bagiku. Orang yang pakai kopiah dan tudung labuh pasti dilabel golongan ustaz-ustazah. Sedangkan aku ni merangkak-rangkak mencari ilmu-NYA, lantas bagaimana bisa dilabel alim, wara’ dan solehah? Alim dan wara’ tu sesuai untuk ulama’ dan guru sahaja. Maksudnya, ulama’ dan guru yang benar-benar diiktiraf. Ilmu mereka yang tinggi dan penuh keikhlasan.

“Dik, akak ni, bukan alim… malah definisi alim secara mendalam pun akak tak tahu. Begini dik, tudung labuh tak wajib dipakai…akan tetapi yang wajib adalah MELABUHKAN TUDUNG KE PARAS DADA.” Aku memulakan point-point penting sekaligus mengambil kesempatan ini untuk memberi faham kepada Asma’, adik usrah aku yang baru kukenali sebulan lalu.

Aku lihat wajah bersih Asma’ masih belum puas dengan jawapan. Lantas aku mengeluarkan tafsir Al-Quran dari beg ku dan ku bacakan padanya Surah An-Nur, ayat 31 berserta tafsirannya sekali.

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya..” (sehingga habis ayat).

Aku melihat Asma’ meneliti setiap bicaraku. Habis sahaja ku bacakan ayat tersebut, dia menundukkan wajah. Kelihatan serba-salah riak wajahnya. Lantas aku cepat-cepat menyentuh bahunya.

“Asma’, adakah Asma’ dah faham apa yang akak mahu sampaikan?” aku merendahkan suara serendah-rendahnya.

“Betul ke kak, tak boleh pakai tudung macam yang Asma’ pakai ni?” Asma memegang tudung bawalnya yang siap diselak ke belakang.

“Adik, tudung tu tak salah, yang salah cara pemakaian dan pemilihan tudung yang kita pakai…” Aku mula mencari sisi dakwah yang lain.

“Maksud akak?” Asma’ bersungguh-sungguh bertanya, terserlah keikhlasan hatinya untuk mencari kebenaran.

“Dik, pakailah tudung apa-apa pun, asalkan ia mengikut syariat. Tudng yang mengikut syariat adalah tudung yang menutupi dada, tidak jarang dan tudung yang boleh melindungi kita dari pandangan nakal mata lelaki” serak basah suaraku ketika menyatakan perkara ini.

“Akak…selama ni Asma’ berdosa la pakai tudung bawal ni selak belakang, jarang pun boleh tahan tudung ni…Alamak kak….kenapa Asma’ tak tahu pasal ni dari dulu lagi…” Asma’ separuh mengeluh. Matanya mula berkaca-kaca. Terserlah keayuan wajah adik berusia 18 tahun ini. Memang tepat dugaan aku, Asma’ jenis orang yang rasional. Akalnya cerdas sekali. Fikirannya cepat menangkap apa yang aku ingin disampaikan.

Aku tidak mahu mensia-siakan waktu emas ini. Hati yang sedang disiram keinsafan hendaklah disuburkan pula dengan benih ketaqwaan. Menutup aurat bukan sahaja bersifat zahir dengan memakai tudung yang labuhnya menutupi dada, namun yang lebih penting adalah melindungi diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang syariat. Nilai tudung bukan terletak pada cantiknya fesyen tudung, bukan terletak pada cerahnya warna tudung, bukan terletak kepada mahalnya harga tudung, bukan terletak pada cantiknya bila kita memakai tudung tetapi pada nilai ketaqwaan kita ketika memakai tudung. Kalau pakai tudung labuh tapi berlipstik tebal pun apalah gunanya. Kalau pakai tudung labuh tapi berakhlak buruk pun apalah gunanya. Tudung itu sendiri bersifat melindungi. Melindungi dari melakukan perkara yang tiada bernilai di sisi agama dan dilindungi dari gangguan-gangguan lelaki yang tidak baik. Itulah penjelasan aku pada Asma’.

Asma’ angguk-angguk tanda faham. Kali ini dia tersenyum, mungkin kerana dia telah mendapat input baru hari ini. Senyumannya manis sekali, menampakkan giginya yang putih tersusun.

“Kak, Asma’ dah faham sekarang. Erm, tapi kan akak.. boleh tak Asma’ nak mula dengan pakai tudung bidang 50 dulu? Asma’ nak mula secara berperingkat, lepas tu, satu masa nanti, Asma’ nak pakai tudung labuh bulat macam kakak pakai sekarang… boleh tak kakak?”

Allahu Allah…

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Memberi Hidayah,

Pemilik kepada hati-hati hamba-Mu,

Yang membolak-balikkan hati…

Aku terkesima dengan Asma’. Kata-katanya memukau. Aku berdoa’ dalam hati, agar niat Asma’ menjadi realiti, agar jalan untuk berubah kepada yang lebih baik dipermudahkan oleh Allah.

“Yakinlah adikku Asma’, Tuhan sentiasa bersamamu” aku berbisik dalam hati sendiri sambil tersenyum manis dan ku usap kepalanya lembut.

“Akak, esok kita shopping tudung nak?”

Aku mengangguk pantas.

Allahu Akbar! J


Thursday, January 6, 2011

"Kak, kalau masuk neraka, calling2 saya okey!"


Bunga api berbentuk love memancar sinar di udara. Tahun baru 2011 menjelma. Tahun 2010 baru berlepas beberapa detik. Saya di KLCC, turun padang bersama beberapa aktivis mahasiswa dari kampus lain, ingin bersama menyambut tahun baru. Namun cara kami berlainan. Kami mengedar risalah dan mendekati mad’u. Kebanyakannya anak muda bawah umur sekitar 13-18 tahun dan warga asing. Paling ramai, orang Indonesia. Sekali pandang, ingatkan diri berada di Jakarta, rupanya masih di Malaysia.

Jam 12.00 lebih, kami beroperasi. Dengan berbekalkan air mineral dan gula-gula sebagai “senjata” dakwah, (bukan untuk kami, tapi untuk mad’u) kami bergerak dalam kumpulan-kumpulan kecil. Banyak mad’u yang didekati, namun saya cuma ringkaskan pengalaman yang menarik sahaja.

Sekumpulan adik lelaki berusia 14 tahun sambil menghisap rokok yang entah kali keberapanya, bercerita; “Kak, tu… kawan perempuan saya tu, dia kena raba kak, pastu ada orang curi handphone dia”

Saya menoleh ke arah kawan perempuan adik lelaki itu. Dalam hati saya berasa aneh melihat wajah-wajah tenang seorang gadis yang telah diraba. Masih relaks. Entahlah. Mungkin dengan raba-raba itu, tidak meninggalkan kesan di hati gadis bawah umur tersebut. Masih berbakikah rasa malu anak gadis di dalam hati untuk bekalan kepada si suami kelak? Allahualam. Soalnya lagi di sini, jika tak mahu kena raba, pakailah pakaian yang sopan dan elakkan percampuran lelaki dan wanita.

Ada mad’u yang relaks, suka mendengar penjelasan, siap meminta diterangkan apa yang ada pada risalah yang kami hulurkan. Ramai yang jujur bercerita bahawa mereka tak solat. Ada yang solat on-off, ada yang cuba melarikan diri, dan ada yang nampak pada raut wajahnya pemikiran ingin berubah. Allah, Allah. Sinarkan kami dengan hidayah-Mu.

Seroang remaja lelaki bertempik kepada saya “Kak, kalau akak masuk neraka, calling-calling saya ok!” Saya hanya mengangguk-angguk melihat adik itu berlalu pergi sambil tergelak-gelak bersama rakan lelaki dan perempuannya. Saya bermuhasabah seketika. Ingin ucap terima kasih kepada adik itu tetapi saya terlambat. Saya bukan Siti Khadijah isteri baginda Rasulullah yang telah dijanjikan syurga. Saya manusia biasa yang lahir dari air mani yang kotor dan tanah tempat buangan najis haiwan. Hidup berlumpurkan dosa, namun jiwa ini hak milik Tuhan. Saya hamba-Nya, maka ada tugasan yang perlu diselesaikan. Jika buat dosa, taubat ubatnya. Terngiang-ngiang pesan Imam Al-Ghazali.” Mereka lebih mulia sebab mereka buat dosa dalam keadaan mereka jahil sedangkan kita buat dosa dalam keadaan kita mengetahui.” Sungguh diri merasa terpukul.

Sepatutnya malam itu juga kami akan bergerak bersama team JAIS untuk menyerbu hotel-hotel, namun hanya beberapa sahabat saja yang berpeluang untuk pergi ke sana.

Kami berjalan pulang menuju Masjid Asy-Syakirin dari KLCC. Sayu hati melihat botol-botol arak bergelimpangan, anak-anak muda menyanyi, menjerit dan kehulu-hilir bagaikan tahun baru 2011 ini adalah hari untuk seronok-seronok. Dah hampir jam 3 pagi, tidakkah ibu bapa mereka ini risau akan anak mereka? Entah, entah, entah. Mungkin telah terbiasa dibiarkan hidup sebegitu rupa. Mungkin.

Dalam jam 3 pagi, kami tiba di Masjid Asy-Syakirin untuk berehat. Saya kagum dengan aktivis-aktivis lain yang sampai ada bawak balik mad’u ke masjid untuk berehat bersama-sama sementara menunggu qiyamullail. Keesokan paginya, barulah kami pulang. Syabas buat team Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia dan aktivis-aktivis dari front yang lain kerana menjayakan XPDC Dakwah sempena sambutan tahun baru.

p/s: Dunia akan terus rosakkah? Bukankah kita yang sedar akan tanggungjawab ini masih bernafas?



Thursday, October 7, 2010

...Kerana Emak Hanya Seorang...


Hari ini, emak mengadu kakinya bengkak. Abah mengurut-urut kaki emak. Esoknya, emak mengadu tangannya sakit. Aduh, hati anak yang mana tidak ditarik-tarik kerisauan.

Saya menjeling jam di dinding perpustakaan. Jam 11.00 pagi. Kuliah saya akan mula pada 2 petang. Kiranya saya ada masa berbaki 3 jam sebelum kuliah bermula. Lantas saya mencapai ‘kuda perang’ NCA 1820 saya, bergegas pulang ke rumah. Tugas saya sebagai anak dan pelajar tidak pernah terpisah dalam sehari. Andai kata ada masa lapang di kampus, saya akan pulang membantu emak dan nenek saya di kedai makan milik kami.

Waktu kemuncak makan tengahari dari pukul 12.00 tengahari hingga 2.30 petang, pasti gerai saya akan dikerumun manusia yang idamkan sepinggan nasi. Ah, di kedai cuma ada makcik Kiah, emak dan nenek sahaja. 3 orang nak melayan 30 orang mana cukup tenaga. Nak buat air lagi, nak mengira lagi, nak basuh pinggan lagi, kemas meja dan lain-lain lagi kerja kedai makan. Orang yang pernah kerja, dia tahu lah penat macam mana. Tambah-tambah lagi kedai saya ni bukan sekadar jual nasi campur tapi ada jual lemang. Ya, bukan hari raya je jual lemang. Tapi hari-hari. Jadi lagi banyak kerja. Nak basuh beras, isi beras dalam buluh dan yang paling susah, nak kena bakar lemang. Menghadap api sekitar 2 jam. Lalu, saya kerah tenaga muda saya. Saya wajibkan diri balik bantu emak. Nasib baik rumah dan kampus saya dekat-dekat. 10 minit dah sampai. Kalau saya rempit, 5 minit je. Kuikui.

Saya tolong mana yang termampu. Bila 20 minit lagi kelas nak bermula, saya pulang semula ke kampus. Sebab itu, kadang-kadang, saya pergi ke kuliah dengan bau asap yang masih terlekat di tudung dan peluh yang masih belum kering. Saya peduli apa, janji saya dapat senangkan emak dan nenek saya. Apa guna jadi anak jika tidak dapat meringankan beban ibunya.

Kadang-kadang saya mengantuk dalam kelas. Tapi saya rasa saya, bukan kerana penat membantu emak. Biasalah, syaitan mana senang tengok orang belajar. Mesti dia nak bertenggek atas mata. Tapi saya tak nafikan juga, ada rasa penat sedikit. Dalam kelas Professional Communication, dah 2 kali Madam Saadiah nampak saya ngantuk. Tengah-tengah madam mengajar, boleh pulak madam pergi ke belakang saya dan memicit-micit bahu saya sekitar 10-15 saat untuk menyegarkan mata yang mengantuk. Bagusnya madam Saadiah. Selama saya bergelar pelajar selama 4 tahun di kampus, ni kali pertama saya diurut oleh pensyarah sendiri. Huhu. Sebab itu, walaupun penat, saya akan daki tangga untuk pergi kelas Madam Saadiah yang terletak di tingkat paling atas. Bukan sebab suka diurut, tapi kerana guru yang bagus akan menjadikan pelajarnya juga bagus.

Bila fikir-fikir balik, saya boleh je duduk kat kampus. Layan facebook, siapkan assignment, tidur siang, dan banyak lagi urusan lain. Tapi bila terkenang kudrat emak yang separuh abad, nenek yang tua, oh, saya katakan dalam hati, “Tanggungjawab ini lebih besar”. Pernah saya terfikir, nak suruh emak berhenti jual lemang. Tapi saya terfikir semula, bagaimana dengan pelanggan setia kami, dengan siapa mereka nak beli lemang? Kalau mereka nak order lemang untuk hari raya, siapa nak bakar? Ish, hubungan sesama makhluk pun kena jaga.

Nak berhenti jual nasi lagi lah tak boleh. Habis orang-orang pejabat nak makan kat mana. Mereka dah jatuh cinta dengan daging salai lemak cili padi dan sambal tumis nenek saya. Kedai saya ni, artis pun dating. Padahal kedai kecik je. Bukan restoran pun. Eh, ni bukan riak ke apa. Chef Ismail pun datang beli lauk sini. Arwah Achik Spin, Datuk Aziz Singah, Latif Ibrahim..semuanya pelanggan tetap yang pasti singgah kalau mereka lalu kedai kami. Pekerja Honda, staff micet, staff Majlis Daerah Tampin, cikgu-cikgu sekolah, semua makan sini. Mana boleh berhenti jual makanan.

Kadang-kadang bila ada test, saya sempat lagi tolong emak saya.. Matlamat ilmu bukan dapat markah yang tinggi dalam peperiksaan dan test. Bukan semua soalan dalam test menguji kefahaman pelajar. Matlamat ilmu nak jadikan kita insan yang beradab, merindui syurga dan membenci neraka. Saya belajar Chemical Engineering, tapi mungkin di masa depan saya hanyalah seorang guru, bukan engineer atau pakar teknologi. Atau mungkin saya hanya seorang aktivis Islam. Bukan tidak berjiwa besar, tapi nilai keilmuan itu bukanlah pada pangkat dan gaji yang besar.

Bila malam tiba, saya akan curi masa buat kerja rumah pula. Lipat kain, gosok baju sekolah adik. Barulah saya lega nak balik ke rumah sewa yang saya tinggal dengan rakan-rakan seperjuangan. Balik rumah baru buat kerja-kerja kuliah. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

Sudahlah, penat dah tulis ni. Sekejap lagi tengahhari, saya nak tolong emak. Motif saya tulis, bukan nak kata saya rajin, tapi saya nak selit peri penting tanggungjawab mereka yang bergelar anak. Bila cuti semester, jangan dok goyang kaki. Anak macam ni, dah kerja nanti lagi teruk. Ibu bapa bukan hamba kepada anak-anak tapi anak-anak sering memperhambakan ibu bapa. Apa lagi, curahkan bakti. Gunakan tulang-temulang yang ada dalam dirimu untuk menempah syurga yang kelal abadi.

Thursday, July 1, 2010

AKU INGIN MENCINTAIMU



Aku Ingin Mencintai-Mu
Edcoustic


Tuhan betapa aku malu
Atas semua yang Kau beri
Padahal diriku terlalu sering membuatMU kecewa
Entah mungkin karna ku terlena
Sementara Engkau beri aku kesempatan berulang kali
Agar aku kembali

Dalam fitrahku sebagai manusia
Untuk menghambakanMU
Betapa tak ada apa-apanya aku dihadapanMU

Aku ingin mencintaiMU setulusnya
Sebenar-benar aku cinta
Dalam do`a
Dalam ucapan
Dalam setiap langkahku
Aku ingin mendekatiMU selamanya
Sehina apapun diriku
Kuberharap untuk bertemu denganMU ya Rabbi

Lirik yang meruntun jiwa... terpukau saya dengan keindahan lirik ini, malah lebih tepat lagi, saya terpukau dengan kecintaan Tuhan kepada hamba-Nya... Ya Ilahi... ampunilah diriku yang penuh palitan dosa... yang penuh hina...yang ibarat bangkai busuk di tepian jalan yang usang... diriku banyak berdosa Ya Allah, namun aku masih mengharap sinar cahaya hidayah-Mu, kerna ku tahu... Kau yang bersifat Ar-Rahman...