BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, October 23, 2012

Sebelum Berbaitul Muslim

Sebelum Aku Berbaitul Muslim (Talk Hilal Asyraf di bumi UniKL MICET pada 23/10/2012)

1.  Pendefinisian cinta

Definisi cinta adalah berbeza mengikut kefahaman individu. Namun hari ini istilah seperti “couple” dan cinta telah disalah-tafsir melalui fahaman barat. Sebagai contoh, apabila kita sebut mengenai cinta antara dua jantina, pasti yang terbayang di minda adalah pasangan yang melakukan perkara yang melanggar syara’ seperti dating berdua-duaan, chatting yang lagho, membazir wang untuk pasangan dan yang paling berat adalah cinta berpaksikan seks. Bagi mereka yang faham maksud cinta sebenar, iaitu yang telah digaris Islam, saudara Hilal memberikan definisi baru iaitu “Cinta mestilah apa yang membawa ke syurga. Apa yang membawa ke neraka bukanlah cinta”. Ini selari dengan ayat Allah pada surah Āli ‘Imrān (ayat 185), “Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya” 

Justeru, jika kita telah faham apakah itu cinta sebenarnya, maka kita tidak berani untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang songsang dalam agama kerana kita menyayangi dan mencintai pasangan kita. Mana mungkin jika kita mencintai seseorang, lalu kita mahu mengajaknya ke neraka? Itu bukan sifat cinta, itu nafsu semata. 

Cinta sebelum nikah juga adalah dibenarkan tapi haruslah berada atas garis-garis Islam. Sebagai contoh, tempoh pertunangan adalah masa yang paling sesuai untuk mengenal bakal pasangan suami/isteri. Namun dalam tempoh bertunang, bukanlah lesen untuk bermaksiat. Dalam bertunang pun, haruslah menjaga pergaulan. 

2.  Sebelum berbaitul muslim 

Sebelum kita membina sebuah perkahwinan, kita mestilah terlebih dahulu untuk USAHA menjadi selayaknya bagi pasangan kita serta nilai sebuah perkahwinan itu. Hilal menggariskan tiga perkara penting yang kita harus bersedia sebelum bernikah. Yang pertama, dari sudut rohani. Pembentukan menjadi muslim yang baik adalah amat penting kerana apabila kita berkahwin, kita akan membentuk sebuah keluarga yang akan membesar menjadi masharakat. Sekiranya seorang muslim yang berkahwin tanpa persedian rohani, maka perkahwinannya itu bakal membentuk sebuah keluarga yang gagal seterusnya sebuah masharakat yang reput rohaninya. Sebagai muslim, umat Rasulu’Llah Salla’Llah ‘alayhi wa sallam, kita tidak mahu digelar masharakat yang rapuh. Dalam surah At-Taḥrim ayat enam, Allah berfirman , “Wahai orang –orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” Sungguh, pembentukan rohaniah amatlah penting untuk membawa diri kita dan pasangan kita untuk menuju syurga. Kita harus perbaiki sikap negatif dan gemar bermaksiat seperti merokok, menonton perkara lucah, membuka aurat dan lain-lain lagi kepada satu perubahan yang positif agar sikap-sikap ini tidak tercerna kepada pasangan kita serta anak-anak kita. 

Yang kedua, persediaan emosi. Mengurus emosi berkait rapat dengan penjagaan masa, penjagaan persekitaran dan sensitiviti perasaan suami. Uruskan masa dengan betul, agar tidak serabut memikirkan perkara yang tidak perlu dilakukan. Menjaga persekitaran seperti kebersihan rumah juga mampu membentuk emosi yang stabil . Sensitif dengan pasangan dengan mengetahui minatnya dan memahami perasaannya agar tidak saling melukai. Persedian emosi amatlah penting bagi seorang suami agar mampu menakhodai bahtera pernikahan dengan bijak agar tidak terlalu mudah meluahkan perkataan ‘cerai’ dan ‘talak’ ketika ada dugaan menimpa rumahtangga. Terdapat banyak kes di mana perkahwinan tidak kekal lama, bahkan dalam beberapa hari sahaja baru berkahwin, telah ada pasangan yang bercerai dek kerana kurang kawalan emosi dan tiada bijak mendepani permasalahan. 

Yang ketiga, persediaan material. Kita mengakui, berkahwin mestilah mengeluarkan modal. Semurah-murah mas kahwin pun, walau senaskhah Al-Quran, pasti ianya modal. Namun zaman sekarang jika tiada RM 10000 hingga RM 20000 usahlah tergesa-gesa mahu berkahwin melainkan anda ada sponsor tertentu untuk menyara kehidupan semasa telah berkahwin. Perlulah ada persiapan bajet untuk berkahwin, iaitu dengan bekerja dan sebagainya. Perlu ada daya saing dan survivol dalam mencari mata pencarian untuk memastikan kesejahteraan hidup berumahtangga. Setakat ini tiada lagi diskaun khas yang diperuntukkan bagi mereka yang telah berkahwin untuk segala jenis harga barang. Justeru, berUSAHAlah mencapai mampu! 

Kesimpulannya, sebelum berbaitul muslim, bersamalah kiat berUSAHA menjadi muslim yang sebenar-benar muslim. Dalam soal memilih pasangan, banyakkan istikharah dah istisyarah (berbincang) di samping kita membuat persediaan yang tiga di atas. 

Insha-Allah, saya telah menulis apa yang saya fahami dari talk tadi. Tulisan di atas ditulis dari apa yang saya daham dan saya olah dengan gaya penulisan saya sendiri. Jika ada silap, mohon dibetulkan. Allahualam. Banyak lagi perkara yang mahu dikongsikan namun Hilal telah menulisnya dalam buku “Sebelum Aku Bernikah”. Belilah jika berkenan untuk membacanya. Assalamualaikum.