BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, January 6, 2011

"Kak, kalau masuk neraka, calling2 saya okey!"


Bunga api berbentuk love memancar sinar di udara. Tahun baru 2011 menjelma. Tahun 2010 baru berlepas beberapa detik. Saya di KLCC, turun padang bersama beberapa aktivis mahasiswa dari kampus lain, ingin bersama menyambut tahun baru. Namun cara kami berlainan. Kami mengedar risalah dan mendekati mad’u. Kebanyakannya anak muda bawah umur sekitar 13-18 tahun dan warga asing. Paling ramai, orang Indonesia. Sekali pandang, ingatkan diri berada di Jakarta, rupanya masih di Malaysia.

Jam 12.00 lebih, kami beroperasi. Dengan berbekalkan air mineral dan gula-gula sebagai “senjata” dakwah, (bukan untuk kami, tapi untuk mad’u) kami bergerak dalam kumpulan-kumpulan kecil. Banyak mad’u yang didekati, namun saya cuma ringkaskan pengalaman yang menarik sahaja.

Sekumpulan adik lelaki berusia 14 tahun sambil menghisap rokok yang entah kali keberapanya, bercerita; “Kak, tu… kawan perempuan saya tu, dia kena raba kak, pastu ada orang curi handphone dia”

Saya menoleh ke arah kawan perempuan adik lelaki itu. Dalam hati saya berasa aneh melihat wajah-wajah tenang seorang gadis yang telah diraba. Masih relaks. Entahlah. Mungkin dengan raba-raba itu, tidak meninggalkan kesan di hati gadis bawah umur tersebut. Masih berbakikah rasa malu anak gadis di dalam hati untuk bekalan kepada si suami kelak? Allahualam. Soalnya lagi di sini, jika tak mahu kena raba, pakailah pakaian yang sopan dan elakkan percampuran lelaki dan wanita.

Ada mad’u yang relaks, suka mendengar penjelasan, siap meminta diterangkan apa yang ada pada risalah yang kami hulurkan. Ramai yang jujur bercerita bahawa mereka tak solat. Ada yang solat on-off, ada yang cuba melarikan diri, dan ada yang nampak pada raut wajahnya pemikiran ingin berubah. Allah, Allah. Sinarkan kami dengan hidayah-Mu.

Seroang remaja lelaki bertempik kepada saya “Kak, kalau akak masuk neraka, calling-calling saya ok!” Saya hanya mengangguk-angguk melihat adik itu berlalu pergi sambil tergelak-gelak bersama rakan lelaki dan perempuannya. Saya bermuhasabah seketika. Ingin ucap terima kasih kepada adik itu tetapi saya terlambat. Saya bukan Siti Khadijah isteri baginda Rasulullah yang telah dijanjikan syurga. Saya manusia biasa yang lahir dari air mani yang kotor dan tanah tempat buangan najis haiwan. Hidup berlumpurkan dosa, namun jiwa ini hak milik Tuhan. Saya hamba-Nya, maka ada tugasan yang perlu diselesaikan. Jika buat dosa, taubat ubatnya. Terngiang-ngiang pesan Imam Al-Ghazali.” Mereka lebih mulia sebab mereka buat dosa dalam keadaan mereka jahil sedangkan kita buat dosa dalam keadaan kita mengetahui.” Sungguh diri merasa terpukul.

Sepatutnya malam itu juga kami akan bergerak bersama team JAIS untuk menyerbu hotel-hotel, namun hanya beberapa sahabat saja yang berpeluang untuk pergi ke sana.

Kami berjalan pulang menuju Masjid Asy-Syakirin dari KLCC. Sayu hati melihat botol-botol arak bergelimpangan, anak-anak muda menyanyi, menjerit dan kehulu-hilir bagaikan tahun baru 2011 ini adalah hari untuk seronok-seronok. Dah hampir jam 3 pagi, tidakkah ibu bapa mereka ini risau akan anak mereka? Entah, entah, entah. Mungkin telah terbiasa dibiarkan hidup sebegitu rupa. Mungkin.

Dalam jam 3 pagi, kami tiba di Masjid Asy-Syakirin untuk berehat. Saya kagum dengan aktivis-aktivis lain yang sampai ada bawak balik mad’u ke masjid untuk berehat bersama-sama sementara menunggu qiyamullail. Keesokan paginya, barulah kami pulang. Syabas buat team Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia dan aktivis-aktivis dari front yang lain kerana menjayakan XPDC Dakwah sempena sambutan tahun baru.

p/s: Dunia akan terus rosakkah? Bukankah kita yang sedar akan tanggungjawab ini masih bernafas?