BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, April 28, 2009

MUSIM KAHWIN

Kali ini saya gusar. Bukan memikirkan masalah kelab, kerana saya tidak lagi memegang kepimpinan. Bukan juga saya fikirkan assignment atau final exam seperti sahabat saya yang sedang bergelut dengan buku di kampus, sebab saya tidak lagi berada di alam kampus, saya sedang menjalani praktikal dan bakal tamat khamis ini.

Saya gusar kerana saya bakal dilanda kesibukan bulan Mei ini. Jadi saya mula membuat perancangan yang sebaiknya agar kegusaran saya bakal hilang. InsyaAllah. 26 Mei adalah tarikh keramat saya untuk membuat presentation terakhir dan ianya bakal menentukan adakah saya layak untuk mendapatkan Diploma. Sebelum presentation, saya perlu menyiapkan thesis sekaligus dengan hard covernya. Maknanya saya kena pergi ke UKM atau UPM untuk buat hard cover. Seronoknya dapat peluang untuk bekerja sambil berjalan-jalan.

Tarikh 16 Mei pula tarikh sahabat seperjuangan saya mengadakan kenduri kahwin. Wah, seronoknya. Saya mula membayang-bayangkan peristiwa yang bakal berlaku pada hari itu di mana saya akan bergambar dengan pengantin. =) Tahniah Kak Marina =)

30 Mei pula giliran sepupu saya, Kak Ain melangsungkan perkahwinan. Jika 30 Mei tarikhnya, maknanya saya akan 'berkampung' di rumahnya 2 atau 3 hari sebelum hari majlis dilangsungkan. Nasib baiklah rumah kami berdekatan, jadi saya punya masa untuk ulang alik.

Awal jun pula insyaAllah saya akan ke Kedah untuk pergi ke majlis kenduri sebelah pihak lelaki sepupu saya.

Dan saya dengar banyak juga yang ingin berkahwin Mei ini.

Dan kepada sahabat-sahabat yang berpeluang untuk berkahwin awal, kahwinlah. Itu lebih membuatkan kita menjaga hati.

Moga mahligai yang terbina dilimpahi keberkatan dari Allah... ameen~

SIGMA - I'M WITH YOU

Saya baru sahaja membuka blog pimpinan GAMIS. Ustaz Dzul Khairi (Presiden GAMIS) yang aku hormati sudah jadikan blognya medan ilmu. Dia menulis kuliah tarbiyah di blognya. Ustazah Rafidah(Penasihat SIGMA) yang aku segani pula masih mahu meningkatkan semangat ahli-ahli SIGMA dengan penulisannya yang cenderung ke arah menjentik pemikiran muslimat muda agar terus mendepani isu-isu semasa seperti feminisme dan mendekati anak muda. Kedua-duanya ada objektif yang mahu diketengahkan menerusi penulisan mereka. Hampir setiap hari saya membaca blog mereka, kerana tidak mahu tertinggal dengan pemikiran mahasiswa intelek yang mereka bawakan.

Tadi, ketika saya membaca blog Ustazah Rafidah, saya tertarik untuk membaca kritikan seseorang yang menggunakan nick name 'aku' di shout box.

" SIGMA konon. tp dimana plaksanaanya.murtad dh bleluasa makin parah,tp kite br bjmpe, br bbncg n br tubuhkan SIGMA...owh! snggh LEMBAP "

Ini sebahagian message yang ditinggalkan oleh 'aku'. Messagenya yang lain juga mengkritik pedas. Tahniah kepada 'aku' yang tersedar dari khayalan dan juga menyedarkan orang lain. Bagi saya, dia punya pemikiran yang terkehadapan.

Saya tersenyum ketika membaca message yang ditulis. Entah mengapa saya tersenyum, mungkinkah benar apa yang dikata? Sebagai ahli SIGMA, saya juga merasa sesuatu apabila ada yang mengkritik pimpinan SIGMA.

Rintihan 'aku' dibalas oleh seorang muslimat kampus- anissofea

" sungguh hebat kritikan 'aku' ni..sigma mmg blum maju,tp dah bermula gerak kerja ye.. 2 agenda utama sigma: 1-P'kuatkan mslmat kampus. 2-Respon isu2 wanita.. skrg ni,sigma pusat dah masuk ke kampus2 utk m'bina mslimat kmpus.alhamdulillah,kami dah merasai utk m'buat prubahan dlm diri msg2. 'aku' kena faham,helwani gamis sblum2 ni langsung tak dirasai olh mslimat kmpus,br thun ni sigma wujud n kini dlm fasa mnguatkan mslimat d kampus. mgkin 'aku' tak berada dlm klompok mslimat yg 'malu',tp realitinya t'lalu rmai mslimat yg masih lg tak mampu utk b'suara krn tiada keberanian.. skurang2nya,sigma pusat dah mainkan peranan utk suntik smgt 'mahu' pd kami.. mmg la blum mmpu nk terus terjah isu,tp kami dah mulakan ye.. "

Panjang lebar penerangan sahabat seorang ini.

Saya bersetuju dengan anissofea. Saya merasakan bukan SIGMA lembap, tetapi masih dalam fasa membina kekuatan sebelum mendepani sesuatu isu.

Penulisan Ustazah Rafidah dalam blognya pula saya rasakan mahu menimbulkan rasa ingin tahu dan mencetus rasa mahu para muslimat muda sebagai persediaan mendepani isu semasa.

Muslimat muda harus baca blog Ustazah Rafidah. Dan bukan Ustazah Rafidah sahaja, Kak Fariza dan Kak Munawirah yang juga memegang tampuk pimpinan SIGMA juga ada blog. Untuk menjadi hebat, bacalah pemikiran orang hebat seperti mereka.

Muslimat yang merasa terpukul dengan kritikan 'aku', jangan pula duduk bergoyang kaki. Tingkatkan ilmu. Banyakkan membaca. Jangan pula hanya menunggu pimpinan SIGMA untuk bertindak, kerana tanggungjawab untuk berdakwah bukan lah terletak di tangan SIGMA sahaja. Selagi ada tangan untuk bekerja, kita kerja. Selagi ada telinga untuk mendengar, kita dengar. Selagi ada mata untuk melihat, kita lihat. Selagi masih ada mulut, kita bersuara. Selagi ada kaki, kita berjalan mengorak langkah.

Tahniah atas kepimpinan SIGMA, Kak Rafidah Mohamad Salleh, Kak Normala Abdullah, Kak Siti Noraini Jamaluddin, Kak Zafirah Zainuddin, Kak Siti Nurul Munawirah Mohamad Roslan dan Kak Nur Fariza Zahrin yang berjaya menyuntik semangat saya untuk terus bekerja sebagai seorang yang sudah memegang amanah dari Ilahi. Saya tahu mereka sedang bekerja keras untuk SIGMA. Kita tunggu Kongres Pendidikan 11 Julai ini yang dikendalikan oleh mereka. Moga Allah memberkati usaha murni mereka dalam mendepani muslimat muda.



P/s: SIGMA cuma perantara antara kita dengan dakwah yang lebih besar.

Dakwah kecil jangan pula kita tutup mata.

ADA APA DENGAN BUKU?

Kat pasaran sekarang, macam-macam buku kita jumpa.

Siapa yang beli buku-buku tu semua?

Aku baca di akhbar Utusan, pengunjung pesta buku baru-baru ini merosot.

Merosot?

Tapi bukankah minat membaca di kalangan rakyat Malaysia makin meningkat?

Eh, biar betul.

Buku apa pula yang selalu di baca rakyat Malaysia? Buku resepi? komik? politik? majalah hiburan? atau buku teks?

Aku terbaca lagi di akhbar, komik dapat tingkatkan ekonomi negara. Maknanya memang ramai yang suka baca komik sehingga jualannya boleh membantu ekonomi negara.

Wah, hebat juga kuasa komik.

p/s: Kalau lah rakyat Malaysia suka baca komik seperti baca Al-Quran...

Monday, April 27, 2009

GERAKAN KAMPUS-KAMPUS KECIL; LEMAH TIDAK, KUAT PUN TIDAK (Siri 1)

Di suatu malam...

Najmi : Assalamualaikum bang.

Qalbi : Wa'alaikumussalam dik. Najmi... lama sungguh tak nampak muka walaupun kita duduk di kampus yang kecil sahaja. Sepatutnya lagi senang kita bersua muka.

Qalbi menyambut salam sambil menguhulurkan senyuman. Ternyata dia senang dengan kehadiran Najmi.

Najmi : Errr... maafkan saya dah lama tak jenguk dan bertanya khabar abang. Erm, memang saya rasa kita dah lama tak jumpa sebab baru-baru ni saya sudah malas ke surau untuk solat jemaah, bang.

Qalbi menundukkan muka, dia pula yang berasa malu dengan kenyataan spontan yang keluar daripada mulut sahabatnya yang cuma muda 2 tahun daripadanya itu. Najmi yang menyedari akan situasi itu, terus berkata-kata kembali.

Najmi : Err... bang. Sebenarnya saya nak minta maaf kalau dah lama saya tak jemaah di surau. Saya tak rasa semangat lah nak solat kat surau. Orang yang datang jemaah kat surau kampus kita ni sikit sangat. Tak seronok rasanya...

Qalbi barulah mengerti mengapa sekarang dia sudah jarang melihat sahabatnya itu. Rupanya Najmi sudah jarang ke surau.

Qalbi : Tak seronok? Mengapa? Boleh Najmi cerita pada abang apa yang Najmi rasakan selama ini sehingga membantutkan niat Najmi nak solat di surau?

Giliran Najmi menunduk kepala. Dia amat hormat dengan Qalbi, seorang abang yang dia tahu amat rajin solat berjemaah di surau.

Najmi : Entahlah abang... saya rasa tak seronok jika solat berjemaah di surau ini. Jemaahnya sedikit, tak sampai 20 orang laki-laki. Sedangkan pelajar lelaki ramai. Mungkin di kampus kita ni pelajar lelaki saya anggarkan ada dalam 500 lebih. Tapi kenapa yang datang ke surau tak sampai 20 orang?

"Abang, bukan itu sahaja, saya pun dah malas nak join kelab Persatuan Islam (PI) lagi. Asyik-asyik bertikam lidah sahaja dalam meeting. Bosanlah. Ukhwah pun terabur, tapi pimpinan cakap berapi-api. Semangat mereka kalah pimpinan Pemuda Islam Malaysia, tapi cakap sahaja tak cukup, bang. Tarbiyah ahli pulak lagilah....jangan cakap. Hancur. Lebur. Mana pergi Lajnah Tarbiyah?"

"Saya juga kesal dengan perangai pimpinan PI. Sesetengah mereka tak jaga adab berikhtilat. Selamba sahaja duduk-duduk di cafe sesama lelaki-perempuan yang bukan mahram. Ahli pun ikut sama. Saya tak sangka sampai macam ini sekali jadinya... mana pergi rasa tanggungjawab mereka yang sudah bergelar daie pada Islam?"

"Mereka hanya tahu buat program berdakwah dengan orang...tetapi nafsu yang dekat dengan hati mereka, mereka tak layan. Sebab itu timbulnya sakit dalam diri mereka."

Qalbi mendengar dengan penuh kesungguhan. Dia kagum dengan sifat suka menganalisis sahabatnya itu. Dala pada masa yang sama, dia cukup terpukul dengan kenyataan berupa kritikan itu.

"Arghhhh.... macam-macam lah bang. Saya bosan! Saya rasa kalau saya tak masuk kampus ni, tentu saya rasa selamat. Kalau di kampus-kampus besar macam IPTA, pasti kebajikan ahli macam saya dijaga baik. Ahli mereka ramai, tarbiyah mereka mantap. Pimpinan mereka hebat-hebat, malah sudah ada pimpinan mereka yang mukanya terpampang di dada akhbar. Memang bagai langit dan bumi perbezaan antara mereka dengan kita. Macam kita ini sekecil bulan, tetapi mereka sebesar Matahari yang sering memancarkan sinar dakwah pada orang lain dengan cahaya keimanan mereka sendiri. Sedih betul saya dengan keadaan kita, bang..."

Akhirnya Qalbi tertunduk. Rasa malu dan marah menyelubungi dirinya. Manakan tidak, Qalbi adalah Naib Presiden 2 dalam PI. Dia rasa terpukul dengan kritikan dari juniornya. Dia rasa bagai dicubit-cubit.

Najmi yang melihat muka Qalbi seakan-akan berkerut, terus memegang bahu Qalbi.

Najmi : Abang marah saya?

Qalbi tersentak dengan soalan itu, lalu dia menyedari yang perasaannya kurang stabil dek kritikan pedas yang diterima. Lidahnya spontan beristghfar. Dalam kekalutan jiwa, pasti ada ruang untuk mengisi ketenangan. Qalbi kemudian tersenyum sesudah dia berjaya mengawal emosi.

Qalbi : Maafkan abang, Najmi. Maafkan abang. Abang tak sangka sebegini rapuh tarbiyah kita. Sebegini dangkal ilmu kita. Sebegini daif diri kita. Sebegini goyah ukhwah kita. Sebegini kalut gerak kerja kita. Astagfirullah....

Qalbi kembali beremosi dengan berkata dengan nada yang sangat sayu, jiwanya penuh keinsafan. Matanya mula berkaca-kaca.

Najmi : Abang, maafkan saya sebab buat abang menangis.

Najmi mengurut-ngurut belakang badan abang seniornya itu.

Qalbi : Benar, benar, sungguh benar... kata-kata Najmi. Semuanya salah abang. Abang jadi Naib Presiden 2 PI, tapi abang gagal dalam menjalankan gerak kerja yang baik. Abang gagal untuk jadi pimpinan yang baik. Sedangkan pintu neraka sudah terbuka untuk abang. Abang gagal dengan amanah yang diberi...

Esakan Qalbi semakin menjadi, dia betul-betul menginsafi diri. Malam itu, dia rasakan semua kelemahan jemaah PI adalah atas kesilapannya seorang.

Najmi : Abang... sudah lama saya ingin meluahkan pada abang, tapi saya takut sebab mahu menjaga hati abang...Sekarang saya tak perlu takut lagi, abang sudah mendengarnya, malah tak sangka abang mengiakan kata-kata saya. Abang memang orang yang berlapang dada.

Qalbi : Dik, sudahlah. Abang tak sanggup dengar apa-apa lagi ya. Najmi simpan dulu jika ada apa-apa yang mahu diluahkan. Abang mahu solat taubat sebentar. Marilah, solat dengan abang. Selepas solat kita ke cafe, kita bincang perkara ini.

Najmi senang sekali menerima ajakan abang seniornya. Mereka berdua solat sunat taubat berjemaah. Qalbi mengimamkan. Dalam sujudnya, Qalbi menginsafi diri. Najmi juga merasakan seperti mendapat hidayah baru. Dalam berdoa, kedua-duanya menangis merintih memohon petunjuk dan keampunan dari Allah...

Sesudah solat, mereka ke tempat yang dijanjikan- cafe. Qalbi menawarkan diri untuk belanja Qalbi minum. 2 teh ais dipesan dan mereka mula mencari-cari tempat yang sesuai untuk duduk. Akhirnya mereka memilih untuk duduk di satu meja yang terletak di bawah pokok. Meja itu agak terasing dengan kekalutan suasana cafe. Sengaja Qalbi memilih tempat itu, dia mahu sedikit privacy dalam membincangkan masalah persatuannya.

Qalbi : Abang mahu kita rancang cuba keluarkan seberapa banyak idea malam ini.

Najmi yang sedang menghirup air teh ais tiba-tiba tersedak.

Najmi: : Idea? Idea apa bang?

Qalbi : Idea untuk Persatuan Islam. Abang tak mahu makin ramai yang menjadi mangsa bagi pentarbiyahan yang lemah. Abang mahu susun startegi.

Najmi : Tapi bang... saya bukan orang yang sesuai nak berbincang mengenai perkara ini. Saya bukan AJK, saya cuma ahli biasa.

Qalbi : Najmi, jangan terlalu merendah diri dengan potensi pada diri kita. Kamu baru sahaja mengeluarkan pendapat yang mencetus inspirasi pada abang. Jika kamu tidak meluahkan permasalahan pada malam ini, manakan abang sedar semua masalah itu. Cuba kamu fikir, mengapa Allah memilih kamu untuk melihat segala kekalutan yang berlaku? Pasti ada hikmahnya.

Najmi terdiam dengan jawapan panjang lebar Qalbi.

Najmi : Jadi apa yang abang ingin lakukan?

Qalbi : Jika Sultan Muhammad Al-Fateh menjadikan lautan sebagai daratan, abang merancang untuk menjadikan kampus kita yang kecil ini sebagai kampus yang mempunyai struktur jemaah yang baik dan bersistem seperti kebanyakan persatuan Islam di IPTA.

Najmi : Maksud abang?

Qalbi : Kita mantapkan jemaah kita dari segala sudut, jika tadi Najmi mempertikaikan antara PI dengan persatuan Islam di IPTA, abang merancang mahu menjadi hebat seperti mereka, atau lebih hebat lagi. Kita rombak sistem usrah, tarbiyah ahli dititik beratkan, ukhwah kita teguhkan, program pula kita corakkan dengan pelbagai pendekatan.

Najmi : Nampak sukar untuk kita laksanakan.

Qalbi : Tiada yang mustahil dengan bantuan Allah, dik.
Ujar Qalbi sambil menguntum senyuman.


Najmi : Tapi bang… itu cuma rancangan secara kasar. Bagaimana pula dengan sistem pelaksanaannya?


Qalbi tersenyum lagi. Entah mengapa malam itu dia merasakan ilham datang tidak henti-henti. Dia percaya, Allah telah memakbulkan doanya untuk diberikan petunjuk. Sungguh, Allah Maha Pemurah.


Qalbi : Begini Najmi…


( Sambungan di Siri 2 )

Monday, April 20, 2009

...BERUBAH ITU PERLU, PERUBAHAN ITU SELALU...

Apakah agaknya yang bermain di fikiran anda tika membaca ayat ini? - berubah itu perlu, perubahan itu selalu. Mungkin maksud yang mendalam hanya Allah dan saya sahaja yang tahu. Dan secara ringkasnya, maksud yang saya ingin sampaikan adalah kita perlu berubah, dan kita perlu selalu berubah. Contohnya, hari ini kita malas study, esoknya kita boleh tatap buku. Pagi tadi kita banyak bercakap kosong, petangnya pula kita muhasabah balik apa yang kita merepek-repek pagi tadi. Dan tidak keterlaluan jika saya katakan, ada orang yang melakukan zina di malam hari tetapi esoknya dia bersolat 5 waktu sehari kerana terasa impak dosa dan keinsafan dalm diri setelah berbuat dosa. Semua ini saya simpulkan sebagai satu perubahan, dan perubahan itu bermula setelah timbulnya kesedaran yang ikhlas. Mungkin anda ada penafsiran yang lain, tetapi bagi diri saya, inilah yang saya rasakan. Adakah salah terlanjur berbuat dosa dan bertaubat? Tentu sekali jawapannya tidak, dan Allah juga amat suka orang-orang yang mensucikan dirinya. Tetapi adalah salah bagi saya jika sengaja cari dosa dan tidak mahu bertaubat.

" Ah... aku muda lagi. Relaxlah... dah tua agak-agak nak mampos nanti baru aku sembahyang "

" Aku dah besar, aku tau mana silap mane betul. Tapi sekarang ni suka hati akulah nak pilih yang mana. Nak atau tak nak jer. Tunggulah... "

" Kalau dah taubat, pastu buat balik dosa tu baik tak payah taubat..."

" Kau ni kata je nak diet, tapi makanan berbungkus-bungkus pulak kau beli... "

" Ala, aku bukan tak tahu yang bercouple tu tak elok. Ustaz aku pernah cakap. Tapi nak buat macam mane... dah suka "

" Dah umur 40 tahun nanti baru aku nak pakai tudung elok-elok... "

" Apa punya anak la kau ni Sofea, (bukan nama sebenar)... dah anak dara pun tak tahu nak bangun awal. Kesian aku tengok mak kau terpekik-pekik kejutkan kau bangun tidur. Asyik tidur je memanjang. Mana nak berkat rezeki kau tu... "

Inilah antara dialog-dialog yang sy pernah dengar dan yang pernah bermain di minda saya. Saya agak terpukul dengan dialog yang ketiga di mana saya sering berbuat dosa dan kemudian bertaubat. Adakah salah perbuatan saya ini? Jika salah, adakah elok saya kumpul dosa banyak-banyak kemudian baru letak dahi kat sejadah sedangkan kita tak tahu bila nak mati?Dan adakah seseorang yang dikritik itu akan berubah on the spot apabila dikritik? Mungkin ada yang sebegitu, dan mungkin juga tidak. Seseorang itu kadangkala menambil masa yang lama untuk melakukan sesuatu perubahan. Sebagai contohnya, saya sendiri mengambil masa hampir 3 tahun untuk terus melakukan transformasi pada diri saya. Dan ada juga orang yang bila dia dengar nasihat, terus berubah.

Mengapa ini terjadi? Saya berpandangan perkara ini terjadi akibat pemahaman setiap orang terhadap sesuatu itu adalah berbeza. Begitu juga dengan cara penerimaannya. Adakah boleh seorang ibu menasihati anaknya yang berusia 20 tahun dengan cara dia menasihati anaknya yang berumur 9 tahun? Adakah boleh seorang naqibah yang punya anak usrah yang berbeza kefahaman dalam Islam dan cara hidup mendidik mereka dengan pendekatan yang sama?

Sahabat yang dikasihi,

Seringkali juga bermain di gegendang telinga saya ; kau perlu berubah! Tapi betapa gagal diri saya untuk menerima pelawaan orang yang menyuruh saya berubah tanpa disertakan sebab, kesan pada diri saya serta pada orang lain. Soalnya... mengapa saya perlu berubah? Apa faedahnya? Sudah fitrah manusia, mereka memusuhi perkara yang mereka tidak tahu. Tetapi bagi hati-hati yang kehausan akan perubahan, mereka akan terus mencari...

Golongan celik pandai, golongan celik tapi tak pandai dan golongan pandai tapi tak celik amat-amatlah perlu membuka mata terhadap gejala-gejala sosial yang sedang melanda negara kita sekarang. Mengapa statistik jenayah terus meningkat. Sepatutnya makin maju negara, makin maju pula peradaban sesebuah negara itu. Lagi-lagi negara yang dilabel sebagai negara Islam. Semuanya kerana asasnya- tidak mahu berubah. Berubah sikit-sikit pun jadilah, ini tidak, tidak mahu berubah langsung. Bila maruah negara tergadai, baru terkokok sana sini salahkan sesama sendiri. ( Maaf, termasuk masalah negara pula... :p )

Jadi bagaimana mahu menjana perubahan ? Perubahan sikap, perubahan rohani dan jasmani. Memang sukar untuk berubah, tetapi akan menjadi lagi susah jika kita tidak berubah. Berubah boleh mendamaikan jiwa, malah menjadi pengubat bagi hati yang sakit parah akibat tidak pernah berubah. Tapi harus ingat, berubah kerana apa? Pertama-tama, niat. Kalau berubah nak jadi cantik, nak make-up tebal-tebal kasi cun sikit dengan niat untuk tatapan boya-friends... adakah itu satu perubahan? Ya, memang ya satu perubahan. Tapi apakah niatnya disandarkan pada sesuatu yang kekal abadi, dan adakah perubahan itu untuk kebaikan jangka panjang? Dan adakah perubahan ini bermanfaat untuk orang lain? Perubahan biar sesuatu yang positif. Dari malas baca buku, jadi seorang yang minat buku. Dari tak pernah solat, dia mahu belajar cara solat walaupun masih belum mampu untuk bersolat. Dari asyik baca sms dan bergayut di telefon, dia mampu untuk mengajak diri untuk baca Al-Quran sekurang-kurangnya 1 muka sehari. Berubah tidak perlu terus masuk alam yang kritikal, kerana takut terhenti di pertengahan perubahan, malah lebih elok jika buat sedikit-sedikit tetapi tetap pada jalannya. Maksud saya, istiqomah pada jalan-NYA. Kemudian barulah yang sedikit-sedikit itu kita tambahkan menjadi banyak dan menjadi amalan yang berterusan. Saya gusar kerana ramai juga sahabat-sahabat saya yang berubah kerana ikut-ikutan tanpa memahami apa yang mereka lakukan, akhirnya perubahan itu memakan diri mereka. Contohnya, ada seorang kenalan saya, daripada seorang yang berpakain biasa, dia melakukan transfomasi pada pemakaiannya dan memilih fesyen muslimah. Mungkin dia berkawan dengan mereka yang boleh digelar 'ustazah' yang seterusnya membuatkan dia terpengaruh untuk memakai pakaian ala-ala ustazah. Hakikatnya, kenalan saya ini mempunyai teman lelaki dan mereka selalu bertemu. Apa lagi, mulalah kedengaran suara-suara nakal yang mengutuk perbuatan mereka yang berpakaian muslimah tetapi gagal untuk memahami adab ikhtilat. Memanglah, kalau saya lihat golongan yang nampak alim tapi buat perangai yang memalukan pun saya akan pelik dan beristighfar, ini kan pula jika yang melihat golongan yang sebegini adalah orang awam yang biasa menghukum sesuatu dari luaran.

Jadi betapa perlunya kita memahami sesuatu yang mahu kita lakukan sebelum dan semasa kita berada dalam proses 'perubahan'. Kalau berubah biar serius, kalau main-main takut nanti kita yang akan dimain-mainkan dengan syaitan dan hawa nafsu. Selalulah berubah, walau banyak mana kesalahan yang kita lakukan. Berbuat salah tidak semestinya berbuat dosa, akan tetapi berbuat dosa itu sudah tentu kita berbuat salah. Peluang masih terbuka bagi yang mahu berubah, pintu taubat masih belum tertutup.... berubahlah kerana dirimu perlukan perubahan... May Allah Ta'ala guide us all.... ameen...

p/s: Walau dikutuk, tetap berubah. Harga sebuah perjuangan adalah pengorbanan.

Assalamualaikum Malaysia!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Ahlan wasahlan, salam kunjungan ke blog saya.

Alhamdulillah, saya baru sahaja create blog ini. Moga-moga penulisan saya yang bakal dititipkan di blog ini nanti bakal mendapat kunjungan ziarah dari sahabat-sahabat sekalian. Dan segala kritikan serta buah fikiran yang perlu dilontarkan kepada saya yang masih baru dalam dunia blog ini, amatlah dialu-alukan. Blog saya untuk tatapan mata & hati untuk semua, bagi yang muslim dan bagi yang non-muslim. Bagi lelaki dan juga perempuan. Bagi yang telah sedia baik dan berilmu, dan bagi seseorang yang sedang mencari ilmu dan masih ingin memperbaiki diri. Bagi yang merasa dirinya baik dan bagi yang selalu merendah diri mengatakan dia bukan orang baik. Apa-apa pun, kita siapa mahu menghukum diri sendiri? Siapa kita dan apa yang kita akan jadi selepas ini siapa yang tahu? Jadi teruskan membaca blog saya, moga-moga anda akan dapat sesuatu dari blog saya, Jika tak dapat pun tak mengapa, asalkan anda membaca. Sekurang-kurangnya tak buang masa... (^_^)