BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, May 23, 2009

LIRIK LAGU GAMIS

salam. Ini lirik lagu GAMIS yang tak pernah disiarkan dan tak pernah dimainkan di mana-mana. Masih dalam pembaikan. Sebarang kritikan untuk lirik lagu ini dialu-alukan.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia
Inilah nama kebanggaan kita
GAMIS singkatannya
Mantap dan bergaya
Itulah tanda kesatuan kita

Kami barisan pemuda Islam
Menyusun langkah mara ke depan
Satu paduan sedia berkorban
Semangat waja penuh harapan

Mari-mari bersama kami
Suburkan ukhwah semaikan jasa
Agar hidup aman dalam redha

GAMIS pencetus revolusi
GAMIS jayakan tranformasi
Dengan tarbiyah dan dakwah
GAMIS mencorak ummah

Pada iman di hati...
GAMIS kan terus berbakti...

GAMIS CEMERLANG!

Wednesday, May 20, 2009

RANCAKKAN GERAKAN MAHASISWA IPTS, MARI MARI MARIIIII! – ANGAN SEORANG MAHASISWI IPTS

“ Siapa peduli dengan IPTS? ”

Hati saya memberontak setiap hari memberitahu.

“ Siapa pula peduli dengan politeknik? ”

Hati saya bersuara lagi. Nakal.

Seperti Ustaz Dzulkhari Mohd Noor (Presiden GAMIS) yang mencipta cita-cita inginkan gerakan ulama mahasiswa, dengan ingin membentuk satu kesatuan antara semua kolej Islam yang ada di Malaysia, begitu juga dengan saya. Hasrat saya yang menginginkan satu kesatuan sebagai rangkaian IPTS-IPTS seluruh negara saya simpan dalam hati sehinggalah saya mencoret dalam blog ini. Saya mahu melepaskan idea yang terperangkap dalam kepala. Berat kepala saja kalau tak diluahkan. Takut nanti jadi penyakit angan-angan pula. Cuma saya pernah beritahu hasrat saya ini kepada Kak Ashyfiati, Timbalan Presiden II Jawatankuasa Perwakilan Mahasiswa (JPM) UniKL MICET. Dia mengangguk-anguk mengiakan. "Betul juga" katanya.

Apa sebenarnya hasrat saya, cita-cita saya? Saya cuma seorang ahli jemaah yang biasa tetapi alhamdulillah, saya diberi ilham oleh Allah untuk menjadi seorang yang berjiwa besar.

Saya inginkan kesatuan bagi IPTS. Bukanlah saya mahu membezakan antara IPTS dan IPTA, tetapi realitinya hanya mereka yang belajar di IPTS sahaja yang tahu. Lihatlah, betapa kita tidak boleh menafikan adanya pelajar IPTA yang terperangkap dalam pemikiran blok-blok kampus mereka. Mereka selesa dengan tidak diuji sepertimana saya dan sahabat-sahabat di IPTS merasa. Masuk-masuk IPTA sahaja, mereka sudah bertapak dalam platform jemaah. Mudahnya. Jadi bersyukurlah. Padahal saya dan rakan-rakan saya di IPTS kebanyakkannya bertungkus-lumus menyiapkan lapangan jemaah bagi pelapis kami. Bahkan kamilah pembentuk asas jemaah. Kamilah pemula dan kami ingin ada pewaris perjuangan di kampus kami.

Pada mulanya, saya membanding-banding di antara IPTS dan IPTA. Tapi saya akui, tidak perlulah membanding sangat, kerana setiap IPTA/IPTS punya identiti tertentu.
Pelbagai masalah bagi IPTS seperti susah cari ahli, ahli-ahli tak arif pasal agama, banyak yang tidak jaga ikhtilat, tukarlah ia kepada cabaran. Jangan terlalu fikir ianya masalah. Kita perlu jaga pemikiran kita takut nanti jadi sakit jiwa pula. =)

Jadi, apakah pemikiran saya yang kononnya mahu membentuk gagasan IPTS ini?

Saya merasakan dan mengimpikan:

1- Jika di IPTA lebarnya sayap yang dipanggil Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), jadi teringin pula saya melihat adanya Islamic Student Organization (ISO) di IPTS. Jika ada IPTS yang sanggup tukar nama persatuan mereka menjadi ISO dan nama-nama persatuan ini diselaraskan di seluruh IPTS, maka satu kesatuan yang kukuh antara IPTS itu sendiri bakal dibina. Ukhwah di antara IPTS akan tersebar dengan satu rangkaian-ISO. Sebagaimana PMI. PMI UM, PMI UPM dan PMI UTM. Mungkin lepas ini ada ISO UniKL MICET, ISO Kolej Lagenda, ISO MMU, ISO UTP. Wah, besarnya impian dan cita-cita saya. Tapi siapalah saya untuk merungkai dan melaksanakan impian ini. Saya cuma ahli biasa. Tapi adakah mustahil? Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri pernah menukar daratan menjadi lautan.


2- Wujudnya kesatuan ini akan mencetus gelombang kebangkitan mahasiswa di IPTS. Saya pernah mengatakan pendapat saya pada perjumpaan Serikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) pada bulan Mac lalu. Saya katakan, “ Lihatlah, pimpinan atasan kita semuanya dari IPTA.” Pendapat saya itu tentu sekali niatnya mahu menjentik perasaan kepada mahasiswi yang hadir pada hari itu agar mereka memberi sedikit perhatian kepada IPTS. Dan saya mahukan mahasiswi IPTS mencipta satu perubahan pada diri mereka. Biarlah setanding dengan rakan-rakan di IPTA. Biar hebat mereka, biar hebat kita. Biar sama-sama berganding bahu. Baru namanya adik beradik SIGMA. Seterusnya saya ada juga ungkapkan, “ Bila kita nak masuk Lim Kok Wing, bila kita nak masuk Taylors? ” Sedar atau tidak, kita terperangkap dalam blok-blok kampus kita. Padahal, kita mahu memperjuangkan Islam. Di mana-mana sahaja. Keluarkanlah diri kita dari ‘comfort zone’. Persatuan cuma wasilah. Setuju? Tak setuju tak mengapa.


Jujurnya, ini cuma impian yang akan saya semat di lubuk hati. Jika saya punya kuasa untuk menjayakan impian ini, tentulah saya amat berbesar hati untuk melaksanakannya. Oh Tuhan...Kau Mengetahuinya...



p/s: Kerja, kerja, dan terus bekerja. Nikmat kehidupan.

Monday, May 11, 2009

EMAK TERSAYANG, ANDA BAGAIMANA?



Abah dan Emak Tersayang

Walaupun saya tahu emak saya tidak akan membaca karangan saya ini, tetapi saya ingin memberitahu anda semua, bahawa emak saya, dan ibu anda adalah insan terbaik di sisi anda sekarang! Anda tahu, betapa sakitnya ketika mereka melahirkan anda? Anda tahu betapa banyaknya peluh yang menitik dari dirinya tatkala dia berusaha mencari rezeki untuk membesarkan anda? Anda tahu andainya anda pernah mengalirkan air mata ibu anda? Dan anda tahu ibu anda adalah orang yang hebat kerana menjadi sayap kiri ayah anda? Anda tahu redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa anda? Anda tahuuu???

Ya, kalau tahu, alhamdulillah, itu petanda baik. Tapi jika tidak, ketahuilah, ibu anda adalah orang yang selalu bersusah payah kerana hendak membesarkan anda!

Seringkali kita mengungkapkan, “ Mak dah tak sayang aku lagi... ” hanya semata-mata kehendak kita tidak diturutinya. Tapi pernahkah kita terfikir, layakkah kita mengungkapkan sebegitu?

Seingkali juga kita mengeluh, “ Asyik membebel jer ibu ni...” . Tidak terlintaskah di fikiran kita bahawasanya semasa kita kecil-kecil dahulu, ibu kitalah yang menadah telinga mendengarkan rengekan kita dan tangisan kita. Sampai tidak tidur malam dibuatnya hanya kerana ingin menenangkan anak yang tersayang. Sampai hati kita bila mengeluh ibu asyik membebel.

Wahai sahabat... andai seorang ibu tidak mengasihi anaknya, apakah dia sanggup bergadai nyawa tatkala dia melahirkan kita dahulu?

Jadi hargai lah ibu anda semasa hayatnya, dan walaupun dia sudah meninggalkan kita...

Mari berusaha menjadi anak yang soleh/solehah. InsyaALLAH...

Ibu anda dan emak saya adalah yang terbaik!!!

Emak saya seorang yang terbaik dalam hidup saya. Beliau banyak memberikan saya peluang untuk menjadi insan yang baik. Walaupun saya mungkin anak yang nakal, tetapi segala perjuangan yang saya lakukan sekarang ini adalah untuk emak saya jua. Jika saya mendapat pahala dalam perjuangan ini, InsyaAllah, pahala ini untuk emak saya jua. I love u so much emak!

(^_^)

Wednesday, May 6, 2009

MALU UNTUK BERUBAH ? LEBIH MALU JIKA TAK BERUBAH !

Petang itu angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menenangkan setiap hati yang terkena usapan angin tersebut.

3 sahabat akrab sedang duduk-duduk menikmati pemandangan petang.

Di tepi padang mereka bersama.

Aina memulakan bicara “ Zarl, Yana... aku ada probs la… sengal betul! Dah malas aku nak pikir. ” dengus Aina sambil mencebikkan bibirnya.

” Kau pe kes ni Aina? Pe probs kau... kalau aku and Yana leh tolong, kitorang tolonglah... ” Zarl menawar kata-kata.

Yana mengangguk mengiakan.

Aina berat mulut. Sungguh, dia malu untuk menceritakan masalahnya. Tapi amat berat juga baginya untuk memikul beban seorang diri. Aina tekad. Masalahnya harus dibocorkan kepada Zarl dan Yana, sahabat karibnya.

Sambil memegang hujung rambutnya, Aina bersuara mendatar.

” Kau orang rasa rambut ni aurat tak ? ”

Zarl terkedu. Yana tiba-tiba membetulkan tudungnya yang tidak bersalah. Hujung tudungnya diselak ke belakang bahu.

” Apasal tiba-tiba kau tanya Aina ? Kau nak pakai tudung ke? ”

Yana bertanya setelah lama berdiam. Dia musykil sekali dengan pertanyaan Aina.

” Entahlah Yana, aku rasa nak pakai tudung. Tapi masalahnya aku segan la. Nanti mesti orang kata aku ni nak tunjuk baik kalau pakai tudung. ” Aina meluahkan.

” Aku bukan rasa beb, tapi aku yakin yang rambut tu aurat. Memang kat sekolah dulu pun ada ajar, kan? Aku pakai tudung ni pun bukan siapa yang paksa. Aku pakai sendiri, tapi aku rasa kalau kau tak ikhlas baik tak payah pakai. ” Zarl berkata dengan nada sedikit angkuh.

” Sebab aku rasa aku dah ikhlas and boleh terima keadaan la aku berani cakap kat kau orang aku nak pakai tudung ni... ”

” Eh, aku rasa kan... kalau tak ikhlas pun kena pakai kan? Ye lah, pakai tudung kan wajib. Macam sembahyang, tak kan la nak kena tunggu ikhlas baru cakap nak sembahyang. Tak gitu ker? ” Aina memberi pendapat.

” Ya tak ya juga...apalah aku ni… buat hukum sendiri pulak. Aduyai…” Zarl mengakui sambil menepuk perlahan kepalanya.

Sedang mereka rancak berborak, mereka tidak menyedari perbualan mereka turut didengari oleh Syuhada, yang sedang duduk berdekatan dengan mereka. Syuhada tidak mengenali mereka, begitu juga mereka tidak mengenali Syuhada. Akan tetapi, perbualan mereka bertiga menarik perhatian Syuhada untuk dia mengatur bicara.

” Assalamualaikum” Syuhada menghulur salam.

” Wa’alaikumussalam” seraya mereka bertiga menjawab.

” Maaf, sebentar tadi saya baru sahaja mendengar perbualan kamu bertiga. Tidak niat saya untuk mencuri dengar, tetapi cuma terdengar. Telingakan untuk mendengar. ” Syuhada cepat-cepat menyusun kata sambil tersenyum kerana wajah sahabat bertiga itu tampak agak pelik ditegur oleh mereka yang tidak dikenali.

” Sorry...sorry... kitorang mengganggu awak ker? Kitorang cakap kuat sangat ek? ” Zarl memohon maaf dan bertanya.

” Eh, takdelah! Saya cuma tertarik dengan apa yang kamu semua sedang bincangkan. Boleh tak kalau saya duduk sekali dengan kamu bertiga. Kita bincang sama-sama... nak tak? ” Syuhada menawar bicara sambil bibirnya menguntum senyuma. Roh dakwah sudah masuk ke dalam dirinya.

Aina, Zarl dan Yana saling berpandangan. Mereka kemudian mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju.

” Orait.... silalah duduk.” Aina berkata sambil memberi sedikit ruang kepada Syuhada untuk duduk.

Mereka berempat lantas bersalaman dan bertukar maklumat peribadi diri.

” Tadi saya dengar kamu semua sedang cerita pasal tudung kan? Okey... Aina kan yang berniat nak pakai tudung tu? ”

Aina menunduk. Tiba-tiba dia rasa malu kepada Syuhada. Gadis itu asing baginya tetapi berani sekali bertanyakan hal perbadi dirinya. Tambahan pula, dia melihat Syuhada amat sempurna sekali bertudung. Tudungnya lepas melebihi bahu.

“ A’ahh kak, sayalah. Tapi tak tahu nak pakai ke tak. Nanti kawan-kawan saya yang lain cakap saya nak tunjuk baik pula, malulah saya nanti...”

Mereka bertiga lebih muda daripada Syuhada, jadi Syuhada lebih senang dengan panggilan ’kakak’.

Zarl dan Yana diam. Mereka memandang Syuhada tanda menanti apa yang Syuhada bakal katakan.

” Okey, sekarang ni akak faham. Aina malu untuk bertudung. Iya begitu? ”

Aina tidak mampu untuk mengiakan. Dia cuma mengangguk malu.

” Aina, apa-apa yang kita mahu lakukan perlu ada batasan. Makan ada batasan, belajar ada batasan, bergurau ada batasan, berbelanja pun ada batasan. Begitu juga dengan sifat malu yang ada pada diri kita, Aina. Malu pun ada batasannya. ” Aina mula memberi penerangan. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

” Maksud akak apa?” Zarl terus bertanya lantaran tidak memahami kata-kata Syuhada.

” Malu kita untuk siapa sebenarnya? ” Syuhada tidak terus menjawab, malah terus mengeluarkan persoalan lain.

Ketiga-tiga terdiam. Mereka tidak punya jawapan.

” Baiklah, akak bagi perbandingan ya. Malu tak kalau salah seorang dari ahli keluarga kita masuk penjara akibat perbuatan merogol? ”

” Malu ” Aina, Zarl dan Yana serentak menjawab.

” Tapi malu tak kalau salah seorang dari ahli keluarga kita masuk University Oxford sebab kecermelangannya dalam pelajaran? ” Syuhada bertanya buat kali kedua.

” Of course la tak malu... bangga adalah! Masuk Oxford tue… hahaha “ Zarl berkata sambil tertawa. Aina dan Yana hanya mengerinyai menampakkan gigi mereka yang putih.

“ Jadi adik-adik sudah pandai membezakan malu yang mana harus adik-adik amalkan. Malu kepada kebaikan atau malu kepada kejahatan? ” Syuhada bertanya.

“ Malu kepada kejahatan ” Yana mencelah sekaligus menjawab pertanyaan.

“ Iya, kita perlu malu kepada Allah jika kita mahu melakukan kejahatan. Dalam bab bertudung ini, pasti adik-adik dapat membezakan yang mana satu larangan dan yang mana satu perintah Allah kan? Bertudung itu perintah, manakala mendedahkan aurat itu larangan Allah. Jadi yang mana satu sepatutnya untuk kita malu melakukannya? Malu pakai tudung atau malu untuk buka aurat?”

” Malu untuk buka aurat lah, kan kak?” Zarl pula menjawab. Kefahamannya mangkin meningkat. Aina pula tersipu-sipu.

” Pandai pun adik akak, kita perlu malu untuk membuka aurat. Malu untuk langgar perintah Tuhan. ” Syuhada bersuara lembut penuh berhemah. Dia mengukir senyuman paling manis buat sahabat bertiga itu.

” Memang saya nak bertudung kak, tapi....” Aina bagaikan terdesak untuk bersuara.

” Ala kau ni, buat selamba sudah ngan orang lain. Aku dengan Yana kan ada. Kitorang support kau nak pakai tudung. Buat tak tahu sudah. Bukan dorang bagi kau dosa, pahala pun...” Zarl tegas bersuara kepada Aina.

” A’ah weyh. Aku dulu pun malu-malu juga nak pakai tudung. Tapi aku rasa orang lain pandang aku biasa je. Lagi dorang suka adalah. Bangga juga aku waktu tu. Hahaha...” Giliran Yana pula memberi semangat pada Aina.

” Nampaknya adik-adik dah mula faham. Aina pula bagaimana? ” Syuhada bertanya apabila melihatkan Aina masih dalam keadaan serba salah untuk bercakap.

” Ermmm...” Aina hanya mampu mengeluh sambil memegang kedua-dua pipinya yang mulus.

” Ok Aina, macam ni. Cuba Aina letakkan diri Aina pada satu situasi yang lain. Contohnya Aina sendiri yang akan melihat seorang kenalan Aina yang selama ini tidak memakai tudung tetapi kemudiannya dia berubah memakai tudung. Apa pandangan Aina terhadap dia. Mesti Aina tak kisah apa yang dia nak pakai kan? Atau mesti Aina ada perasaan gembira kerana dia dah berubah. Betul tak?” kata Syuhada dengan penuh hemah.

Aina mula tertarik dengan idealogi Syuhada. Baginya kehadiran Syuhada pada petang itu amat menyenangkan.

” Betul kak. Selama ini pun saya tak pernah terfikir pulak macam tu. Ya tak ya juga... selama ni saya pentingkan sangat pandangan orang lain tapi yang sebenarnya mereka tak kisah pun... kalau mereka bising-bising pun, tentu tak lama. Yang penting, saya berubah kan? ” Aina mula memahami.

“ Alhamdulillah, nampaknya semua dah faham. Bagi akak, apa sahaja yang kita nak lakukan perlu datang dari hati yang ikhlas semata-mata untuk mencapai redha Allah. Itu matlamat kita, dik... InsyaALLAH jika hati kita ikhlas kerana-NYA, hati kita akan tenang walaupun kita dihina dan dicaci..utamakan pandangan ALLAH daripada pandangan manusia dik... InsyaAllah berkat hidup kita...” Syuhada cuba memfokuskan mereka kepada pentingnya akan keiikhlasan niat.

“ Jangan risau dik, pakai tudung itu kan satu perkara baik. Takkan orang nak menghina pada perkara yang baik pula kan? Lagipun kalau kita tak berubah sekarang, akak takut kita akan jadi lebih teruk lagi kalau kita tak berubah!” Syuhada menjelaskan lagi.

” Maksud akak?”

” Kalau kita tak berubah sekarang, akak takut kita tak akan dapat lagi hidayah Allah yang DIA beri pada kita sekarang. Dan mungkin keadaan kita akan jadi lebih teruk lagi pada masa akan datang. Contohnya, seorang penipu, jika dia tidak mahu mengubah tabiatnya... lama kelamaan dia jadi pencuri. Kan ada dalam peribahasa Melayu. Begitu juga akak takut kalau kita tak sempat berubah... kerana maut sentiasa menunggu kita, dik...” Syuhada bersuara dengan suara yang sayu dan lantas meruntun perasaan sahabat bertiga itu.

” Maafkan saya kak. InsyaAllah saya akan cuba yang terbaik! Saya dah tak nak fikir pasal orang lagi . Buang masa saya jer. Baik saya fikir pasal mak dan ayah saya. Tentu mereka seronok tengok saya kalau saya bertudung kan? ” Aina bersemangat melontarkan suara. Dia tersenyum bangga.

” Betul tu... saya pun nak berubah la kalau macam ni!” Yana menyambut kata.

” Aku pun nak jugak!” Zarl mencelah sambil menyeringai. Namun niatnya serius. Mahu berubah.

Mereka bertiga kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Syuhada dan mereka saling bertukar nombor telefon.

“ Ok kalau macam tu jom la kita pergi sekarang! Mid Valley jom!” Aina berkata.

” Eh, ke nak ke mana? ” Syuhada bertanya hairan.

” Beli tudung!” Aina menjawab dengan hati yang riang.

Mereka bertiga kemudian berlalu sambil melambai-lambai kepada Syuhada.

GAMIS - KONSERT OH KONSERT

GAMIS : KONSERT OH KONSERT

Sewaktu saya dalam lena tadi, entah mengapa otak saya memikirkan mengenai konsert yang bakal Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) naungi buat julung kali.

Sambil tidur, sambil saya merangka idea apakah yang akan saya tulis di blog saya ini mengenai topik ‘konsert’. Entah mengapa ilham datang sewaktu saya tidur dan saya masih ingat apa yang saya fikirkan. Dan saya juga tidak tahu mengapa topik ini yang menjadi sasarannya.

Idea mengadakan konsert memang idea yang menarik. Menarik untuk diperbincangkan, dan menarik saya untuk datang ke konsert tersebut.

Dalam keadaan separuh sedar saya tadi, saya membayangkan bagaimana suasana konsert tersebut nanti. Konsert yang menggabungkan antara artis nasyid dan band indie, bakal menggamat suasana. Gabungan artis nasyid dan artis dari genre muzik yang berbeza bukan pertama kali diadakan. Contohnya, Dato’ Siti Nurhaliza, Amy Search dan Mawi seringkali digandingkan untuk mengadakan persembahan bersama artis nasyid.

Tetapi apa yang GAMIS mahu buat kali ini sedikit berbeza kerana mereka mahu menjemput band dari Indonesia, UNGU dan band indie yang masih segar dan popular dengan lagu Lagu Untukmu, Meet Uncle Hussin. Sungguh saya tidak tahu siapa yang memberi idea gempak sebegini. Satu cubaan berani pihak GAMIS.

Jujurnya, saya tidak faham objektif konsert ini diadakan. Tetapi jika mengikut kefahaman peribadi saya, mungkin GAMIS mahu menonjolkan bahawa ’GAMIS untuk semua’, dalam menjalin hubungan dengan masyarakat luar, tidak kira para artis atau sesiapa jua. Keduanya, saya berfahaman bahawa GAMIS ingin menunjukkan bahawa Islam itu fleksibel. Hiburan itu menjadi suatu unsur dalam Islam. Ketiganya, mungkin inilah cara GAMIS berdakwah. Setiap individu mahupun persatuan mempunyai cara tersendiri bagaimana untuk mengembangkan dakwah mereka. Terserah pada kreativiti masing-masing. Keempat, dengan menjemput artis daripada Indonesia, menunjukkan sikap terbuka GAMIS dalam menjalin hubungan dengan negara jiran. Ini semua kemungkinan objektif GAMIS menurut perspektif saya yang jahil.

Akan tetapi, sewaktu dalam tidur tadi saya juga dihujani idea untuk menulis bagaimanakah agaknya suasana yang digambarkan jika ahli GAMIS turun konsert yang ada 2 kumpulan band terkemuka dari tanahair Malaysia dan Indonesia? Lagu seperti mana yang mereka bakal sampaikan? Dan siapa yang bakal menghadiri konsert? Kalau sekadar ahli GAMIS yang turun, mungkin suasana agak terkawal, tetapi kalau tiket konsert boleh dibeli sesiapa sahaja, maka satu pengawasan yang terkawal perlu dititik beratkan ketika konsert dijalankan.


Dengan adanya konsert ini, menunjukkan sikap terbuka GAMIS kepada hiburan. Mungkin saya memahami akan pendekatan ini, tetapi pada yang tidak, mungkin sokongan tidak akan diberikan pada GAMIS. Mengapa saya berkata begini?

Jika GAMIS pernah membantah konsert Avril Lavigne dan tidak menyokong konsert yang bakal Rihanna langsungkan, mungkin GAMIS juga akan terkena bantahan. Kerana dengan kehadiran Ungu dan Meet Uncle Hussin (MUH), bakal menggamatkan suasana dengan kehadiran peminat fanatik ataupun tidak fanatik. Saya jangkakan ramai Indonesian bakal turun konsert ini jika tiket dijual kepada umum. Peminat band indie MUH juga ramai. Saya pernah menyaksikan persembahan MUH di konsert Sure Heboh minggu lepas di Lumut menerusi kaca televisyen. Keadaan agak terkawal kerana sistem keselamatan yang baik dengan kedudukan pentas yang agak jauh dari kedudukan penonton. Saya pasti GAMIS akan lakukan yang terbaik bagi mengawal keadaan, InsyaAllah.

Tahniah kepada GAMIS kerana membuka ruang kepada masyarakat bagi mengenali GAMIS. Bolehlah buat jualan serta edarkan risalah dakwah sewaktu konsert nanti. Konsert tetap konsert, dakwah tetap dakwah.

p/s : Tak sabar nak melihat reaksi wajah ’ustaz-ustazah’ sewaktu menonton konsert. Pasti sesuatu yang menghiburkan hati. hehe